KOTA KINABALU: Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH) menyambut baik sokongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Sakmud terhadap usaha menyatukan persatuan-persatuan seni dan kreatif di Sabah melalui sebuah platform gabungan yang mampu memperkukuh suara, kepentingan serta hala tuju pembangunan industri kreatif negeri ini.

Pengerusi KREATIF SABAH, Chester Pang berkata, sokongan tersebut merupakan satu perkembangan positif dalam usaha membina hubungan lebih erat antara komuniti penggiat seni dan kreatif dengan pihak kerajaan, khususnya dalam memastikan aspirasi, keperluan dan cabaran industri mendapat perhatian sewajarnya di peringkat pembuat dasar.

“Matlamat utama kami adalah untuk membina satu jambatan komunikasi dua hala antara komuniti seni dan kreatif dengan pihak kerajaan.

Melalui platform ini, suara, pandangan, cadangan serta keperluan industri dapat disampaikan secara lebih tersusun, manakala dasar, inisiatif dan perancangan kerajaan pula dapat diterjemahkan kepada komuniti untuk difahami dan dimanfaatkan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai delegasi KREATIF SABAH dalam satu kunjungan hormat ke Pejabat Perhubungan Ahli Parlimen P.171 Sepanggar di Suria Inanam, Kota Kinabalu, yang turut disertai beberapa pemimpin persatuan anggota gabungan tersebut.

Dalam pertemuan selama kira-kira satu jam itu, Datuk Mustapha, yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, menyatakan sokongan terhadap usaha penyatuan tersebut dan menekankan kepentingan memperluas peluang pekerjaan serta sumber pendapatan, khususnya kepada golongan belia di seluruh Sabah.

Chester berkata, pandangan tersebut amat bertepatan dengan aspirasi KREATIF SABAH yang melihat industri seni dan kreatif bukan sekadar sebagai bidang penghasilan karya, hiburan atau aktiviti kebudayaan, tetapi juga sebagai sektor ekonomi yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan, melahirkan usahawan serta menjana sumber pendapatan baharu.

Beliau turut menyambut baik pandangan Datuk Mustapha mengenai potensi pembangunan industri kreatif Sabah pada tahun 2027, khususnya susulan pewujudan portfolio Ekonomi Kreatif di bawah Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif oleh Kerajaan Negeri Sabah.

Dalam kunjungan tersebut, Chester turut membentangkan latar belakang, objektif, struktur gabungan serta aktiviti dan pencapaian KREATIF SABAH sepanjang tahun 2026, selain berkongsi perancangan program dan inisiatif bagi tahun 2027.

Antara fokus utama yang diketengahkan termasuk usaha memperkukuh jaringan persatuan anggota, pembangunan kapasiti dan profesionalisme penggiat industri, penyediaan peluang ekonomi, peluasan jaringan kerjasama serta pembangunan hab kreatif di beberapa kawasan di Sabah.

Chester turut menjelaskan bahawa perkembangan industri kreatif Sabah memerlukan sokongan bersepadu daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui agensi berkaitan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC),

MyCreative Ventures dan Radio Televisyen Malaysia (RTM), khususnya dalam aspek pembangunan kandungan, pembiayaan, latihan, teknologi, penerbitan dan akses pasaran.

“Kami percaya bahawa Sabah mempunyai bakat, kreativiti, kepelbagaian budaya dan keunikan tersendiri yang boleh diketengahkan sebagai kekuatan ekonomi.

Apa yang diperlukan sekarang ialah ekosistem yang lebih tersusun, peluang yang lebih terbuka dan kerjasama strategik antara kerajaan, industri, institusi pendidikan serta komuniti kreatif,” katanya.-pr/BNN