KOTA KINABALU: Persatuan Murut Sabah (PMS) menyatakan sokongan padu terhadap usaha Kerajaan Negeri Sabah memperkasa dan memartabatkan institusi Mahkamah Anak Negeri (MAN) menerusi kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Anak Negeri 2026 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Julai lalu.

Presiden PMS, Datuk Rubin Balang berkata, pembaharuan menerusi enakmen baharu itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh kedudukan sistem perundangan adat anak negeri supaya terus relevan, berwibawa dan dihormati seiring perkembangan semasa.

Menurutnya, usaha berkenaan bukan sahaja memperkukuh struktur dan bidang kuasa Mahkamah Anak Negeri, malah mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memelihara serta melindungi adat, budaya dan warisan masyarakat anak negeri Sabah.

Antara pembaharuan penting yang disokong PMS ialah penyusunan semula struktur kehakiman menerusi pewujudan Mahkamah Daerah Anak Negeri, Mahkamah Tinggi Anak Negeri dan Mahkamah Rayuan Anak Negeri, selain pengukuhan jawatan kehakiman serta pelantikan hakim berasaskan merit.

Beliau berkata, PMS turut menyambut baik usaha memperjelas pemisahan fungsi pentadbiran adat dengan fungsi penghakiman tanpa mengetepikan peranan tradisi pegawai adat seperti Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri.

Pada masa sama, usaha menaik taraf kemudahan fizikal institusi Mahkamah Anak Negeri, termasuk Kompleks Kehakiman Anak Negeri Sabah serta pembinaan mahkamah baharu di beberapa daerah, turut dilihat sebagai langkah penting bagi meningkatkan keberkesanan sistem kehakiman adat.

Rubin berkata, pemerkasaan Mahkamah Anak Negeri perlu dilihat sebagai usaha mempertahankan jati diri, kedaulatan adat dan warisan masyarakat pribumi Sabah yang diwarisi turun-temurun.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor atas komitmen dan kesungguhan dalam mempertahankan serta memartabatkan adat istiadat dan hak masyarakat anak negeri Sabah melalui pengukuhan institusi berkenaan.

PMS berharap segala pembaharuan menerusi enakmen baharu itu akan terus memperkukuh kedudukan institusi adat serta memastikan undang-undang adat anak negeri kekal terpelihara dan dihormati oleh generasi akan datang.-pr/BNN