GUANGZHOU: Delegasi Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah meneroka peluang kerjasama dengan Universiti Sun Yat-sen di sini, khususnya dalam aplikasi kecerdasan buatan (AI) bagi memajukan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan negeri ini.

Lawatan sempena program pertukaran peringkat tinggi ke China itu turut memberi tumpuan kepada kerjasama dalam bidang pendidikan, pembangunan bakat belia dan ekonomi biru.

Presiden MCCC Sabah, Datuk Dexter Lau, berkata kepakaran, teknologi dan pengalaman China perlu dimanfaatkan untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor yang mampu membawa manfaat kepada Sabah.

Beliau berkata, pendedahan kepada perkembangan AI dan teknologi pertanian di China membuka ruang kepada kerjasama lebih menyeluruh, termasuk pendidikan, pembangunan bakat serta peningkatan nilai industri sedia ada.

Katanya, Sabah mempunyai sumber dan potensi pembangunan yang luas, manakala pengalaman China dalam teknologi, pendidikan dan pembangunan industri boleh membantu mempercepat kemajuan pelbagai sektor di negeri ini.

Sementara itu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Ja’afar, berkata Universiti Sun Yat-sen bukan sahaja terkenal dalam bidang perubatan, malah mempunyai kepakaran pertanian yang menyumbang kepada pembangunan Guangzhou dan kawasan sekitarnya.

Beliau berkata, delegasi turut diberi pendedahan mengenai penggunaan AI dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi pertanian universiti berkenaan, yang boleh dijadikan rujukan untuk Sabah.

Katanya, walaupun Sabah sudah mula meneroka penggunaan AI di beberapa jabatan kerajaan, pelaksanaannya masih perlu dipertingkatkan secara lebih menyeluruh.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pegawai kerajaan yang terlibat dalam bidang AI serta pensyarah Institut Pertanian Sabah dihantar mengikuti latihan di Universiti Sun Yat-sen bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan praktikal.

Jamawi berkata, penguasaan AI memerlukan latihan sistematik dan profesional, bukan sekadar bergantung kepada pembacaan bahan rujukan atau tutorial dalam talian, selain penting bagi peserta memperoleh kelayakan atau pensijilan yang diiktiraf.

Beliau turut berharap kepakaran ahli akademik universiti teknikal tempatan dapat digabungkan dengan keupayaan Universiti Sun Yat-sen untuk membangunkan rangka kerja aplikasi AI secara berperingkat, khususnya bagi sektor pertanian dan industri makanan.

Dalam lawatan itu, Timbalan Pengarah Pejabat Kerjasama dan Pertukaran Antarabangsa Universiti Sun Yat-sen, Yu Zhantao, menyampaikan ucapan alu-aluan kepada delegasi.

Profesor Shi Qian dari Sekolah Geografi dan Perancangan universiti berkenaan turut menyampaikan kuliah khas mengenai aplikasi AI dalam sektor pertanian dan perikanan serta potensi kerjasama pada masa hadapan.-pr/BNN