KOTA KINABALU: Pencapaian wanita Sabah dalam pendidikan perlu diterjemahkan kepada penyertaan ekonomi, kemajuan kerjaya serta peluang lebih luas dalam kepimpinan dan pembuatan keputusan bagi memastikan golongan itu terus menjadi rakan strategik pembangunan negeri.
Sehubungan itu, Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah akan menganjurkan Forum Wanita Sabah Merentas Generasi 2026 bertemakan Daripada Potensi kepada Impak: Wanita Sabah Memacu Masa Hadapan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), 2 Disember ini.
Pengerusi IDS Sabah, Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata forum itu bukan sekadar platform perbincangan mengenai pembangunan wanita, sebaliknya bertujuan menterjemahkan dapatan kajian berasaskan bukti kepada tindakan praktikal yang boleh dilaksanakan dan diukur impaknya.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Datuk Ts Dr Ramzah Dambul, berkata wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi negeri menerusi sumbangan dalam pendidikan, pekerjaan, keusahawanan, perkhidmatan awam, kepimpinan masyarakat dan pembangunan keluarga.
Katanya, Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) Sabah 2023 mencatat skor keseluruhan 0.715, mengatasi purata nasional 0.705. Bagaimanapun, pencapaian pendidikan tertiari wanita yang tinggi belum diterjemahkan sepenuhnya kepada penyertaan tenaga buruh dan kepimpinan.
“Nisbah enrolmen pendidikan tertiari wanita berbanding lelaki mencatat 1.889, tetapi nisbah penyertaan tenaga buruh wanita hanya 0.673, manakala bagi penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus, nisbahnya 0.407,” katanya.
Forum itu merangkumi Forum Perdana bertajuk Wanita Sabah: Daripada Potensi kepada Impak dan Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) From Evidence to Action: Memperkasa Wanita Sabah Merentas Generasi, dengan tumpuan kepada empat tonggak iaitu penyertaan wanita dalam tenaga kerja, keusahawanan, kepimpinan serta pementoran dan legasi menerusi perkongsian pengalaman wanita senior dan pesara.
Program itu turut menyokong aspirasi Kajian Rangka Tindakan Wanita Sabah 2026–2035 bagi memperkukuh penyertaan ekonomi, keusahawanan, kepimpinan dan kerjasama strategik, selain memperkenalkan Portal Wanita Women’s Leadership Initiative Committee (WLIC).
IDS turut mengundang agensi kerajaan, sektor swasta, pemain industri, NGO, akademik dan pemimpin komuniti menyertai forum berkenaan.-pr/BNN





