KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) mengalu-alukan keputusan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI) mengembalikan kuasa kepada ahli-ahli peladang memilih pemimpin mereka mulai tahun depan (2021).

Pengerusi PPNS, Datuk Mohd. Nazri Abdullah berkata, warga peladang menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri MAFI, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Kerajaan Persekutuan kerana mewartakan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2020 (FARMERS’ ORGANIZATION (AMENDMENT) REGULATIONS 2020).

Katanya, peraturan itu yang telah disiarkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 14 Disember 2020 dan akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2021.

“PPNS mengucapkan terima kasih kepada Ronald dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana mendengar suara ahli-ahli peladang akar umbi yang mahukan Ahli Jemaah Pengarah dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nazri berkata, dibawah Peraturan-Peraturan
Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2020 yang diwartakan itu, pindaan telah dibuat dalam peraturan 35 (1) (a) iaitu bagi setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) hendaklah
terdiri daripada sebelas orang ahli yang dipilih dalam Mesyuarat Agong Tahunan.

“(i) dua orang ahli daripadanya hendaklah merupakan Peladang Muda; dan (ii) dua orang ahli daripadanya hendaklah merupakan Peladang Nita;

“(b) bagi setiap Pertubuhan Peladang Negeri, hendaklah terdiri daripada tiga belas orang. (i) sebelas orang ahli daripadanya hendaklah dipilih
dalam Mesyuarat Agong Tahunan.
(A) seorang ahli daripadanya hendaklah merupakan Peladang Muda; dan (B) seorang ahli daripadanya hendaklah merupakan Peladang Nita; dan

“(ii) dua orang daripadanya hendaklah dilantik oleh Menteri. (A) seorang daripadanya hendaklah merupakan wakil daripada kementerian yang bertanggungjawab bagi pertanian dan industri makanan; dan (B) seorang daripadanya hendaklah merupakan pakar dalam bidang perniagaan pertanian; dan

“(c) bagi Pertubuhan Peladang Kebangsaan, hendaklah terdiri daripada tujuh belas orang-(i) sebelas orang ahli daripadanya hendaklah dipilih dalam Mesyuarat Agong Tahunan; dan
(ii) enam orang daripadanya hendaklah dilantik oleh Menteri.”, jelasnya.

Nazri berkata, Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2020 juga menyatakan bahawa;

“(2) Pengerusi Jemaah Pengarah mana-mana Pertubuhan Peladang hendaklah dipilih melalui suatu undian majoriti daripada jumlah ahli Jemaah dalam mesyuarat pertama Jemaah Pengarah itu dan jika terdapat bilangan undi yang sama banyak, calon-calon yang mempunyai undi yang sama banyak hendaklah mencabut undi untuk
menentukan siapa yang akan menjadi pengerusi.

“(8) Kuorum bagi apa-apa mesyuarat Jemaah Pengarah hendaklah terdiri daripada yang berikut: (a) lima orang bagi suatu Pertubuhan Peladang Kawasan; (b) tujuh orang bagi suatu Pertubuhan Peladang Negeri; dan
(c) sembilan orang bagi Pertubuhan Peladang Kebangsaan.”

Beliau berkata, PPPP (Pindaan) 2020 juga menjelaskan bahawa Ahli Jemaah Pengarah yang sedia ada yang dipilih dalam Mesyuarat Agong Tahunan atau dilantik oleh Menteri di bawah subperaturan 35(1) Peraturan-Peraturan ibu sebaik sebelum Peraturan-Peraturan ini mula berkuat kuasa hendaklah disifatkan telah dipilih atau dilantik di bawah Peraturan-Peraturan ini dan hendaklah terus memegang jawatan sehingga habis tempoh pemilihan atau pelantikan mereka seolah-olah Peraturan ibu tidak dipinda oleh Peraturan-Peraturan ini.

“Apa-apa perbuatan yang dilakukan, tindakan yang diambil atau keputusan yang dibuat oleh ahli Jemaah Pengarah yang disebut dalam subperaturan (1)
sebaik selepas Peraturan-Peraturan ini mula berkuat kuasa hendaklah disifatkan sah dan boleh diteruskan dengan sewajarnya oleh ahli Jemaah Pengarah”.

Beliau difahamkan pihak MAFI juga meminta terus diadakan bengkel seperti di rancang bersama diantara NAFAS, PPN dan PPK yang mana pihak kerajaan akan melihat semua pandangan dari kepimpinan 3 peringkat untuk menambah baik peranan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pertubuhan Peladang (PP).

“Ini bertujuan membantu menjayakan hasrat kerajaan melalui MAFI untuk memperkasakan Pertubuhan Peladang di Malaysia.

“Pewartaan ini hanya pada peringkat permulaan untuk menyelesaikan isu-isu Mesyuarat Agong PP tahun depan (2021) di mana ketiga-tiga peringkat PP akan mengadakan mesyuarat agong pemilihan.

“Perkara ini telah dimaklumkan oleh Dr Anis Mahmud, Timbalan Ketua Setiausaha MAFI dalam Mesyuarat AJP NAFAS pada 15 Disember 2020 lalu”, tegas Nazri.-pr/BNN