TUARAN: Semua pihak memainkan peranan penting membantu kerajaan menjelaskan kepada rakyat di seluruh pelusuk Sabah mengenai manfaat vaksin, bagi menyokong usaha memperkukuhkan imuniti kelompok di negeri ini.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag, berkata pemberian vaksin yang dilaksanakan bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia bertujuan mengakhiri episod pandemik COVID-19.

“Oleh itu semua kita sebagai rakyat perlu membantu kerajaan menjelaskan atau menerangkan kepada rakyat bahawa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan adalah satu-satunya cara untuk mengeluarkan negara daripada belenggu COVID-19.

“Saya difahamkan setakat 7 April lalu, seramai 385,423 orang di negeri Sabah telah mendaftar untuk menerima vaksin atau kira-kira 13.1 peratus daripada 2.9 juta golongan sasar. Jumlah pendaftaran untuk imunisasi masih pada tahap yang rendah di negeri ini.

“Justeru, saya ingin menyeru komitmen daripada semua pihak untuk mendaftar supaya sama-sama mendapat vaksin COVID-19. Saya sendiri sudah menerima vaksin yang kedua,” katanya ketika merasmikan sambutan Bulan Pemakanan dan Ulang Tahun Hospital Tuaran Ke-27 Peringkat Hospital Tuaran Tahun 2021, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Hospital Tuaran, Dr G Mohan A Gopal Naidoo; Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran, Wanihim Othman; Timbalan Pengarah Hospital Tuaran, Dr Prins Bonaventure Benedick dan Pegawai Dietetik merangkap Penyelaras Program, Nazirah Zuman.

Mengenai majlis itu, Juliah berkata pemakanan secara sihat memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan dan mencegah penyakit, terutama pada masa ini.

“Memang tidak dapat dinafikan perubahan corak pemakanan dan ditambah dengan amalan pemakanan yang tidak sihat seperti makanan yang tinggi lemak, gula, garam, kurang serat serta kurang melakukan aktiviti fizikal adalah penyumbang kepada masalah berlebihan berat badan serta pelbagai masalah kesihatan yang lain.

“Keadaan itu menyebabkan masyarakat kita pada hari ini dibebani pelbagai penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis,” katanya.

Juliah turut merakamkan syabas dan tahniah kepada semua warga Hospital Tuaran kerana berjaya menganjurkan majlis itu dan berharap hospital itu akan terus mencapai kecemerlangan.-pr/BNN