KOTA KINABALU: The Skybridge Kota Kinabalu telah dibuka kepada orang awam pada hari ini, 09 September 2021 bermula pada jam 7:00 pagi. Jejantas Skybridge sepanjang 400 meter ini adalah sebahagian daripada Projek Skybridge Pedestrian Linkages and Traffic Improvement Works bernilai RM 31.5 juta yang merangkumi komponen – komponen seperti berikut:
1. Jejantas Skybridge yang dilengkapi dengan 20 kiosk niaga berhawa dingin, eskalator
dan lif untuk golongan kelainan upaya;
2. Pembaikan Jalanraya
3. Lintasan Pejalan Kaki
4. Menaiktaraf bulatan menjadi persimpangan dengan lampu isyarat
5. Laluan Pejalan Kaki Berbumbung
6. Lampu Jalan
7. Peningkatan landskap dan hiasan jalan
Syarikat pemaju telah membiayai projek di atas melalui peruntukan Dana Mudahcara
daripada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS). Walaubagaimanapun, pada tahun 2018
syarikat pemaju telah digulungkan dan akibat daripada penggulungan tersebut Dana
Mudahcara telah dibatalkan oleh UKAS. Apabila Dana Mudahcara telah dibatalkan, projek
tersebut terbengkalai.
Demi kepentingan awam, DBKK telah mengambil inisiatif untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Negeri Sabah bagi menyiapkan projek ini. Atas keprihatinan kepada rakyat, Kerajaan Negeri Sabah bersetuju membiayai projek tersebut atas dasar perkongsian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan iaitu 50%-50%.
Jumlah peruntukan yang diluluskan untuk menyiapkan infrastruktur dan kerja-kerja yang belum disiapkan adalah sebanyak RM4.7 juta. Jejantas Skybridge ini menghubungkan Pusat Komersial Api-Api, Pusat Membeli Belah Centre Point, Pusat Komersial Warisan Square dan Oceanus Waterfront melalui laluan berikut:
1. Pintu masuk Oceanus
2. Pintu masuk Warisan
3. Pintu masuk Marina
4. Pintu masuk Api Api 1
5. Pintu masuk Api Api 2
6. Pintu masuk Asia City
Sementara itu, pintu masuk ke-7 iaitu pintu masuk Centre Point belum dibuka kerana pihak
Centre Point sendiri semasa fasa pembinaan telah menyatakan hasrat untuk membina
sendiri tangga dan laluan masuk dalam tempoh enam bulan selepas pembangunan Jejantas
Skybridge siap keseluruhannya. Dalam akujanji yang dikeluarkan oleh pihak Centre Point
juga menyatakan mereka akan menanggung sendiri kos pembinaan berkaitan. Secara keseluruhannya Jejantas SkyBridge dilengkapi dengan kemudahan berikut :
1. Jejantas berbumbung
2. Eskalator
3. 2 Lif untuk golongan kelainan upaya
4. 20 kiosk perniagaan berhawa dingin
5. Kamera Litar tertutup bagi tujuan keselamatan
Pihak DBKK berharap Jejantas SkyBridge ini bukan saja dapat membantu meningkatkan
tahap keselamatan dan keselesaan pengguna tetapi juga membantu menyediakan
kemudahan perniagaan untuk mereka yang berminat. Borang tawaran untuk menyewa
lot-lot berkaitan akan diedarkan dalam masa terdekat. Pihak DBKK juga mengharapkan agar para pengguna sentiasa menjaga kebersihan serta tidak menyalahgunakan kemudahan yang disediakan. Sekian dan harap maklum. –
NOORLIZA AWANG ALIP
MAYOR BANDARAYA KOTA KINABALU
09 SEPTEMBER 2021