23 Disember 2021, Kuala Lumpur – Rang Undang-undang (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah diluluskan Dewan Rakyat dengan majoriti lebih 2/3 iaitu seramai 199 ahli Dewan yang menyokong dan seramai 21 orang yang tidak hadir. RUU ini juga telah dibentangkan dan diluluskan di Dewan Negara pada hari ini, dengan majoriti lebih 2/3 iaitu 49 yang menyokong, tiada yang tidak menyokong dan lima orang tidak hadir. Kedua-dua pembentangan ini telah dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) YB Dato Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyatakan bahawa “RUU ini dapat mengembalikan kedaulatan dan hak negeri Sarawak dan Sabah” dengan pengiktirafan MA63 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 adalah pindaan Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan pindaan kepada:

i. Peruntukan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan;
ii. Tafsiran “the Federation” di bawah Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan;
iii. Tafsiran baharu “Malaysia Day” di bawah Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan; dan Peruntukan perenggan (a) Fasal (6) dan Fasal (7) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan Perlembagaan melalui Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 ini antara lain dapat memberikan manfaat yang dapat menjelaskan kedudukan Negeri Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Pindaan ini turut memberi pengiktirafan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam Perlembagaan Persekutuan di mana sebelum ini tiada rujukan dibuat Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan ini juga memberi pengiktirafan kepada “Hari Malaysia” di mana ia telah dimasukkan ke dalam tafsiran Perlembagaan Persekutuan manakala Pindaan Fasal (6) dan (7) Perkara 161A dapat mengembalikan hak dan kebebasan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dalam menentukan definisi “ras asli” yang mana pentafsiran definisi “ras asli” selepas ini tidak lagi tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan tetapi ditentukan oleh Kerajaan Negeri Sarawak melalui undang-undang Negeri secara mutlak.

YB Menteri juga memaklumkan bahawa beliau telah membuat sebanyak 15 sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, Ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Sokongan semua parti adalah penting bagi merealisasikan pindaan ini memandangkan pindaan ini memerlukan sokongan 2/3 untuk diluluskan.

DATO SRI DR. HAJI WAN JUNAIDI BIN TUANKU JAAFAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Parlimen dan Undang-undang)