KENINGAU: Selepas membawa isu berkaitan kesihatan khususnya dalam kalangan
wanita, Program Jerayawara siri penjelajahan keempat di Zon Keningau kali ini
memfokuskan kepada Program Pendidikan Keselamatan Keluarga dan Anak atau
PEKA.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag yang juga Yang Dipertua
Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah
(MUTIARA GRS), berkata program jerayawara kali ini memfokuskan kepada PEKA
yang berkaitan aspek pendidikan keselamatan keluarga dan anak.

Menerusi program ini katanya, ia dapat memberi pendidikan, pendedahan dan
kesedaran dalam kalangan ibu bapa, penjaga serta masyarakat tentang isu
keselamatan anak, pencegahan kemalangan, kemahiran menyelamat dan asas rawatan
kecemasan serta kepentingan menjaga keselamatan keluarga di alam siber.

“Soal keselamatan keluarga tidak boleh dipandang remeh kerana hari ini pelbagai
indikator digunakan oleh penjenayah untuk menganggu gugat serta mengancam
keselamatan keluarga.

“Ini termasuklah melalui aplikasi WhatsApp, panggilan telefon, pertemuan alam maya
menerusi media sosial seperti Facebook, twitter, instagram dan segala bentuk aplikasi
sosial yang boleh menghubungkan kita dengan orang yang tidak dikenali.

“Perkongsian daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang
memfokuskan tentang keselamatan atas talian serta demo CPR (bantuan pernafasan)
sebagai tindakan awal menyelamatkan seseorang sekiranya berlaku kecemasan di
rumah, adalah satu pengisian yang amat penting,” katanya ketika merasmikan Program
Jerayawara Keluarga Malaysia PEKA @LPPKN Zon Keningau bagi DUN Bingkor dan
DUN Liawan sempena Sambutan Hari Bapa di Dewan Terbuka Taman Bandukan
Bingkor, di sini pada Selasa.

Program ini adalah kerjasama antara MUTIARA GRS dan Lembaga Penduduk dan
Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sabah.

Sehubungan itu Juliah berharap semua ilmu yang diperoleh pada hari ini akan
menjadikan ibu bapa lebih sensitif, berwaspada dan meningkatkan keselamatan anak
di mana sahaja mereka bagi mengelak menjadi sasaran penjenayah.

“Ibu bapa juga perlu memelihara nilai juga mulia dalam kalangan anak mereka dengan
memupuk, mendidik dan mendisiplinkan anak supaya dapat melahirkan insan yang lebih
prihatin dan bertanggungjawab,” katanya.

Sempena program itu, pelbagai perkhidmatan LPPKN termasuk pemeriksaan kesihatan
pakej 1 iaitu BMI, Glukos, Kolesterol dan Tekanan Darah juga diadakan.

Pusat Keluarga Bergerak LPPKN juga mengadakan Pendaftaran Subsidi Mamogram dan Pemeriksaan HPV DNA kepada wanita yang berkelayakan mengikut syarat yang telah ditetapkan.-pr/BNN