PENAMPANG: Perayaan Kaamatan dan Gawai bukan sekadar simbol kesyukuran atas hasil tuaian, sebaliknya menjadi wahana mengukuhkan semangat serumpun antara rakyat Sabah dan Sarawak yang berkongsi jati diri Borneo.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, hubungan erat antara keduadua negeri perlu terus dipelihara sebagai landasan memupuk perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum di Malaysia Timur.
“Sabah dan Sarawak bukan sahaja berkongsi sempadan, tetapi juga berkongsi jati diri – jati diri Borneo yang kaya dengan budaya, adat dan tradisi.
Hubungan ini harus kita perkukuh demi kemajuan dan kesejahteraan bersama,” katanya pada Majlis Makan Malam Gala KaamatanGawai 2025 di Grand Ballroom, ITCC di sini pada Sabtu.
Ucapan beliau dibdisampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Seri Panglima Dr.Joachim Gunsalam.
Hajiji berkata, sambutan Kaamatan-Gawai adalah simbol muafakat serta penghargaan kepada warisan nenek moyang, selain mengukuhkan semangat muhibah dalam kalangan masyarakat Kadazandusun, Murut, Rungus, Iban, Bidayuh, Dayak dan etnik pribumi lain.Katanya, keunikan budaya pelbagai kaum di Sabah dan Sarawak menjadi tarikan pelancongan yang mampu memperkenalkan kekayaan warisan tempatan ke peringkat antarabangsa.
“Perayaan seperti ini dapat diraikan kerana keamanan dan keharmonian yang kita kecapi. Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana hidup dalam sebuah negara yang mementingkan perpaduan kaum dan kestabilan,” katanya.
Hajiji turut menegaskan bahawa perpaduan dan toleransi antara kaum dan agama adalah kekuatan utama negara yang sukar ditemui di negara lain pada masa kini.
“Perpaduan kaum perlu dipertingkat supaya generasi akan datang memahami bahawa Malaysia ialah negara untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri menyambut baik kerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, pelaburan dan pertukaran budayakhususnya membabitkan penyertaan generasi muda.
Katanya, kerajaan juga komited memperkasa komuniti luar bandar, melindungi tanah adat serta memperluas akses pendidikan dan digital, supaya tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan.
“Setiap rakyat Sabah berhak mendapat peluang yang adil demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis tersebut termasuk penggiat seni, pemimpin masyarakat dan sukarelawan yang terus menghidupkan semangat budaya Borneo.
“Semoga sambutan ini menyemarakkan kasih sayang, keharmonian dan menyatukan kita demi masa depan yang lebih gemilang,” katanya.-pr/BNN