KENINGAU: Usaha memperkasakan wanita dan menyemarakkan semangat kesukanan terus mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman, apabila beliau menyalurkan sumbangan kepada MDK Football Club (MDK FC) yang akan mewakili daerah ini dalam Kejohanan Futsal Mini Women di Kota Kinabalu bulan ini.

Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Pemaju Masyarakat, Hairul Ahmad Syam yang mewakili Annuar dalam satu majlis ringkas di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan dan diterima oleh wakil pasukan, Yvonne James.

Menurut Hairul, sumbangan tersebut mencerminkan komitmen Annuar dalam memperkukuh peranan wanita dalam sukan, selain menyokong pembangunan bakat tempatan khususnya dalam kalangan generasi muda.

“YB Annuar sentiasa memberi penekanan kepada sukan sebagai wadah membentuk jati diri, semangat berpasukan dan perpaduan masyarakat. Sokongan ini adalah bukti bahawa wanita juga diberi ruang sama rata dalam bidang sukan,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif ini turut sejajar dengan aspirasi “Liawan Terurus, Liawan Maju” yang menekankan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pembangunan insan, termasuk dari aspek sosial dan sahsiah.

Penyertaan MDK FC dalam kejohanan peringkat negeri turut dilihat sebagai bukti bahawa Keningau tidak ketandusan bakat wanita yang mampu bersaing secara sihat di pentas lebih tinggi, sekaligus mengangkat nama daerah di peringkat luar.

Pasukan MDK FC dianggotai oleh pemain wanita tempatan yang aktif dalam pelbagai kejohanan di peringkat daerah, dan penyertaan mereka kali ini merupakan peluang untuk mengasah pengalaman serta membina jaringan kerjasama dalam komuniti sukan wanita di Sabah.-pr/BNN