KENINGAU: Penantian lebih 27 tahun penduduk Kampung Labak Baru untuk menikmati kemudahan jalan berturap akhirnya berakhir apabila jalan konkrit baharu berjaya disiapkan hasil keprihatinan dan usaha berterusan Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor.
Projek yang siap sepenuhnya itu bukan sahaja memberi kelegaan kepada penduduk yang selama ini bergantung kepada laluan tanah merah, malah membawa sinar baharu kepada kehidupan mereka terutama dalam aspek ekonomi dan mobiliti.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Labak Baru, Januarius Juanis, berkata pembinaan jalan tersebut merupakan detik bersejarah buat kampung itu yang telah lama mengharapkan kemudahan asas yang lebih baik.
“Kami amat bersyukur. Jalan ini bukan sahaja memudahkan urusan seharian, malah mempercepatkan pengangkutan hasil pertanian ke pekan berhampiran. Ini sangat membantu meningkatkan pendapatan penduduk,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Robert yang disifatkan sebagai pemimpin yang benar-benar mendengar keluhan rakyat dan mengambil tindakan tepat pada masanya.
“Beliau bukan hanya datang berjanji, tetapi membuktikan komitmen. Inilah contoh pemimpin berjiwa rakyat,” katanya lagi.
Bagi penduduk, Godfrey Blasius, pembinaan jalan konkrit itu ibarat mimpi menjadi nyata setelah hampir tiga dekad menanti.
“Selepas 27 tahun tinggal di sini, baru sekarang kami rasa betul-betul lega. Terima kasih Robert, kerana prihatin dan bantu kampung kami,” katanya penuh terharu.
Jalan baharu itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Kampung Labak Baru, malah turut memudahkan laluan ke kampung-kampung sekitar yang sebelum ini sering berdepan masalah laluan terputus atau becak teruk terutama ketika musim hujan.
Projek pembinaan jalan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melalui platform Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Penduduk Kampung Labak Baru turut mendoakan agar Robert terus diberi kekuatan untuk meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat di kawasan pedalaman Bingkor.
“Pemimpin sebenar bukan hanya muncul ketika musim pilihan raya, tetapi hadir apabila rakyat memerlukan. Datuk Robert telah membuktikan perkara itu,” kata seorang penduduk.-pr/BNN