KENINGAU: Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Ken Hwa Keningau merangkap Pengerusi Pertubuhan Sze Yi Keningau, Datuk Peter Ma, menyambut baik keputusan memasukkan elemen Citra Sabah dalam kurikulum baharu Tahun Satu dan Tingkatan Satu mulai 2027.

Beliau menyifatkan langkah itu sebagai usaha bermakna untuk memastikan generasi muda lebih mengenali sejarah, budaya dan identiti negeri sendiri, sekali gus memperkukuh jati diri mereka.

Sokongan itu susulan kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, selepas menghadiri majlis penyerahan Sekolah Menengah Sains Sabah (SMESH) dan SK Bukit Hill di Bukit Padang, Jumaat lalu, bahawa Citra Sabah antara perkara yang dipersetujui dalam usaha memperkukuh pendidikan di Sabah berlandaskan kandungan, persetujuan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Fadhlina dipetik berkata, “Antara perkara yang kita sudah persetujui ialah memasukkan Citra Sabah dalam kurikulum sekolah,” dengan pelaksanaannya dimulakan menerusi kurikulum baharu Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada 2027.

Menurut Peter, pendidikan bukan semata-mata ruang mengejar pencapaian akademik, sebaliknya medan membentuk kefahaman anak-anak terhadap asal usul, nilai masyarakat dan tempat mereka berpijak.

Katanya, apabila sejarah, budaya dan identiti tempatan diberikan tempat sewajarnya dalam kurikulum kebangsaan, murid Sabah akan mempunyai hubungan lebih dekat dengan pembelajaran kerana kandungannya turut mencerminkan kehidupan dan warisan masyarakat di sekeliling mereka.

Peter turut menyambut baik penegasan Fadhlina bahawa perbincangan pendidikan di bawah MA63 bukan hanya tertumpu kepada kurikulum, malah merangkumi penempatan guru baharu serta pelantikan pengetua dan guru besar yang kini berada pada peringkat akhir penyelesaian.

Beliau berkata, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri amat penting bagi menangani keperluan pendidikan Sabah serta memastikan pembangunan pendidikan negeri terus diberikan perhatian.

“Perkembangan ini membawa mesej lebih besar daripada sekadar perubahan kandungan buku teks kerana ia menunjukkan suara, sejarah dan wajah Sabah semakin diberi ruang dalam pembentukan generasi masa depan.

“Apabila sebuah generasi mengenali akarnya, identitinya tidak mudah hilang walau sejauh mana dunia membawanya,” katanya.-pr/BNN