KENINGAU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB), Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak yang disifatkannya mampu memperkukuh suara rakyat di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, penambahan kerusi itu amat dialu-alukan kerana dapat mewujudkan perwakilan yang lebih seimbang, khususnya bagi kawasan yang mempunyai keluasan dan keperluan pembangunan yang tinggi.

“Dalam konteks ini, saya berharap kawasan Parlimen P180 Keningau turut diberikan perhatian sewajarnya, khususnya dengan mempertimbangkan cadangan supaya Tambunan diwujudkan sebagai satu kawasan Parlimen baharu.

“Dengan adanya sebuah Parlimen khusus bagi Tambunan, saya percaya wakil rakyat dapat memberikan tumpuan lebih fokus terhadap pembangunan, kebajikan dan keperluan masyarakat di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yazid turut mencadangkan supaya penambahan kerusi berkenaan dilihat secara lebih menyeluruh dengan mempertimbangkan penambahan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Keningau dan Tambunan.

Katanya, Keningau kini mempunyai dua kawasan DUN iaitu Bingkor dan Liawan, manakala Tambunan hanya mempunyai satu kawasan DUN.

“Justeru, saya berpandangan Keningau wajar dipertimbangkan untuk mempunyai tiga kawasan DUN, manakala Tambunan pula dua kawasan DUN,” katanya.

Beliau berkata, cadangan itu bukan semata-mata untuk menambah kerusi, sebaliknya mengambil kira pertambahan penduduk, keluasan kawasan, perkembangan sosioekonomi serta keperluan pembangunan masyarakat pedalaman.

Menurutnya, Keningau dan Tambunan mempunyai kawasan luar bandar dan pedalaman yang luas, sekali gus memerlukan perwakilan yang mampu memberikan tumpuan lebih dekat kepada rakyat.

“Dengan kawasan perwakilan yang lebih bersesuaian, wakil rakyat akan lebih mudah mendekati masyarakat dan membawa isu setempat untuk perhatian kerajaan, termasuk berkaitan jalan raya, kemudahan asas, pendidikan, kesihatan, pertanian, ekonomi luar bandar, peluang pekerjaan serta pembangunan belia.

“Ini juga akan membantu memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara lebih menyeluruh oleh rakyat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya.

Yazid berkata, penambahan kerusi Parlimen dan DUN perlu dilihat sebagai langkah memperkukuh sistem demokrasi, meningkatkan keberkesanan perwakilan serta memastikan suara rakyat didengar dengan lebih jelas.

Beliau berharap proses penentuan kawasan baharu kelak mengambil kira faktor geografi, demografi dan keperluan sebenar masyarakat, termasuk kedudukan Keningau dan Tambunan sebagai kawasan penting di pedalaman Sabah.

“Saya menyokong sepenuhnya usaha untuk memperkukuhkan perwakilan Sabah di peringkat Parlimen. Dalam masa sama, saya berharap Keningau dan Tambunan tidak terpinggir dalam proses penambahan kerusi ini.

“Sudah tiba masanya struktur perwakilan kita disesuaikan dengan perkembangan semasa supaya pembangunan pedalaman Sabah dapat diperkasakan dan suara rakyat dapat dibawa dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau menegaskan isu penambahan kerusi bukan sekadar berkaitan kepentingan politik, sebaliknya lebih penting menyentuh kepentingan rakyat, pembangunan kawasan dan masa depan Sabah.

“Yang kita harapkan ialah perwakilan yang lebih dekat dengan rakyat, pembangunan yang lebih tersusun dan suara masyarakat pedalaman yang lebih kuat di peringkat negeri dan Persekutuan,” katanya.-pr/BNN