KOTA KINABALU : Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap pengumuman penghargaan khas oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memperkenalkan beberapa inisiatif kebajikan rakyat sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Pengumuman ini bukan sahaja bersifat simbolik, tetapi juga membuktikan iltizam politik Kerajaan MADANI dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan dasar yang bersifat menyeluruh dan menyentuh realiti hidup keseluruhan masyarakat, khususnya anak muda.

AMK Sabah melihat bahawa inisiatif-inisiatif yang diumumkan membawa pendekatan sentuhan mikro, iaitu langkah-langkah langsung dan praktikal yang memberi impak besar kepada kehidupan seharian rakyat.

Bantuan one-off Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada semua warganegara yang berumur 18 tahun ke atas melalui MyKad, merupakan satu bentuk pengiktirafan bahawa generasi muda juga layak disantuni dan tidak terpinggir daripada perhatian kerajaan.

Dalam suasana ekonomi yang mencabar, bantuan ini memberi ruang bernafas kepada para mahasiswa, pekerja gig, graduan baharu dan belia luar bandar yang bergelut dengan kos sara hidup.

Pengumuman penurunan harga petrol RON95 dari RM 2.05 kepada RM 1.99seliter pula adalah antara langkah paling signifikan dalam meredakan tekanan kos hidup rakyat.

Bagi anak muda Sabah, yang puratanya ramai bergantung kepada motosikal atau kereta sebagai pengangkutan utama untuk bekerja, berniaga atau menyambung pengajian di bandar, langkah ini memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian.

Penjimatan ini akan meningkatkan mobiliti ekonomi, menambah peluang dan mengurangkan beban kewangan mereka secara realistik dan saksama.

Hal ini adalah bukti bahawa kerajaan memahami corak hidup rakyat marhaen dan bertindak mengurangkan beban secara berfokus dan adil.

Kenaikan kadar gaji minimum kepada RM 1,700 yang diumumkan turut memperkukuh mesej bahawa kerajaan komited untuk menjamin pekerjaan yang lebih bermaruah buat generasi muda.

Dalam keadaan ramai belia yang memasuki alam pekerjaan dengan tangga gaji rendah dan tiada jaminan masa depan, dasar ini menjadi asas kepada keadilan ekonomi dan memperbaiki taraf hidup secara progresif.

Keseluruhan pengumuman ini mencerminkan strategi ekonomi yang menggabungkan kecekapan fiskal dan kasih sayang sosial.

Apabila rakyat, khususnya anak muda, dibantu secara mikro, sama ada melalui bantuan tunai, subsidi minyak atau gaji minimum yang lebih adil, kesan jangka panjangnya adalah kelangsungan ekonomi domestik yang lebih rancak, permintaan tempatan yang lebih stabil dan kestabilan sosial yang lebih utuh.

Perkara ini membuktikan bahawa kerajaan bukan sekadar memacu angka KDNK, tetapi sedang membina asas kepada ‘ekonomi yang mendengar dan menyantuni rakyat’.

Pimpinan AMK Sabah termasuk Ketua-Ketua AMK Cabang seluruh Sabah percaya bahawa penghargaan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri ini adalah satu lagi bukti bahawa Kerajaan MADANI benar-benar komited dalam menjayakan agenda reformasi yang bersifat menyeluruh dan berjiwa rakyat.

Melihat anak muda Sabah sebagai sebahagian daripada generasi pewaris negara, mesti diyakini dan diberikan ruang dalam pelaksanaan dasar.

Golongan ini bukan lagi kelompok pinggiran, tetapi peneraju pembangunan inklusif dan pelaksana kepada dasar yang progresif.

Sehubungan dengan itu, AMK Sabah menyeru seluruh generasi muda untuk terus menyokong usaha kerajaan hari ini demi membina Malaysia yang lebih adil, inklusif dan bermaruah.-pr/BNN