KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah), Mohd Lin Hj. Harun yang juga Ketua Bahagian STAR Sabah Usukan, hadir bersama Presiden parti, YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, memeriahkan sambutan Larian Hari Sabah Ke-62 di Padang Merdeka, semalam.

Acara tahunan itu menjadi simbolik kepada sambutan Hari Sabah yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun, sekali gus memperkukuh semangat cintakan negeri dan perpaduan rakyat pelbagai lapisan masyarakat.

Mohd Lin berkata, penganjuran larian itu bukan sahaja menyemarakkan nilai kecintaan terhadap negeri, malah melambangkan kekuatan semangat juang serta kesungguhan rakyat Sabah.

“Larian ini melambangkan semangat juang, kesungguhan dan kecintaan kita terhadap negeri Sabah yang tercinta. Saya amat berbangga melihat penyertaan daripada pelbagai daerah kerana inilah bukti semangat perpaduan rakyat Sabah yang tidak pernah luntur,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang hadir menjayakan acara berkenaan, selain menyeru agar semangat kerjasama dan cintakan tanah air terus dipupuk serta diwarisi oleh generasi muda.-pr/BNN