KENINGAU: Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor terus mengimarahkan kegiatan dakwah apabila menganjurkan Majlis Ilmu sempena Sambutan Maulidur Rasul bertemakan “Membangun Ummah Madani”, yang menghimpunkan lebih 40 ahli kariah dari sekitar kawasan Bingkor.
Majlis itu menampilkan Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) Daerah Keningau, Mohd Nizam Yahya, selaku penceramah jemputan. Beliau membawakan ceramah bertajuk “Kelahiran Rasulullah SAW Tanda Turunnya Rahmat Agama Islam” yang menekankan keagungan peribadi Rasulullah SAW, rahmat Islam yang dibawa, selain penghayatan nilai akhlak Baginda dalam kehidupan seharian umat Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran dan Pengurusan Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata penganjuran majlis seumpama itu menjadi platform penting untuk memperkukuhkan keimanan, memupuk kecintaan kepada Rasulullah SAW serta mempereratkan ukhuwah dalam kalangan ahli kariah.
“Majlis ini bukan sahaja medan ilmu, malah mengingatkan kita tentang keperluan memperbanyakkan selawat serta mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam kehidupan harian.
“Pihak jawatankuasa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ustaz Mohd Nizam Yahya atas kesudian hadir dan berkongsi pencerahan bermakna kepada para jemaah,” katanya.
Turut hadir ialah Imam Masjid Nur Hidayah, Imam Juslin Ibrahim; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa, Mat Rahim Matsin; serta barisan ahli jawatankuasa masjid, yang menzahirkan komitmen berterusan dalam mengimarahkan masjid dan memperkukuhkan peranannya sebagai pusat penyebaran ilmu serta pembangunan masyarakat.
Selaras dengan aspirasi “Membangun Ummah Madani” dan usaha JHEAINS memperkasakan institusi masjid, program sebegini diharap dapat melahirkan masyarakat berilmu, berakhlak mulia serta bersatu padu.
Masjid bukan sekadar tempat ibadah, sebaliknya menjadi pusat perpaduan dan pembangunan sahsiah ummah demi kesejahteraan masyarakat Islam di Keningau khususnya, dan Sabah amnya.-pr/BNN





