KENINGAU: “Jangan tunggu musibah lebih besar, tolonglah kami sekarang.” Itu luahan hati seorang penduduk Kampung Sandapak, James Kumpit Unggati, yang merayu agar permohonan pembinaan culvert di kawasan kediamannya disegerakan demi keselamatan penduduk setempat.

Menurut James, beliau sudah beberapa kali mengajukan permohonan kepada pihak berwajib sejak beberapa tahun lalu, namun sehingga kini belum ada tindakan susulan. Akibatnya, setiap kali hujan lebat, air mudah melimpah masuk ke dalam rumah, merosakkan perabot dan peralatan elektrik.

“Sudah banyak kali rumah kami dinaiki air. Semalam pun kejadian sama berlaku. Kalau dibiarkan, saya bimbang kerosakan lebih besar akan menimpa keluarga kami. Buat masa ini, saya hanya mampu memasang culvert buatan sendiri, termasuk menggunakan tayar kereta untuk mengalirkan air,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

James turut menzahirkan penghargaan kepada pihak berwajib yang sebelum ini meluluskan kerja-kerja penambahbaikan Sungai Tampadawon yang terletak di belakang rumahnya.

Namun katanya, tanpa pembinaan culvert yang sempurna, masalah limpahan air tetap berulang.

“Kasihani kami rakyat kecil. Culvert ini bukan hanya untuk rumah saya, tetapi untuk keselamatan semua jiran yang sama-sama terjejas setiap kali hujan lebat,” jelasnya penuh harapan.

Rayuan James mencerminkan keresahan rakyat luar bandar yang masih berdepan isu asas infrastruktur. Bagi mereka, sebuah culvert kecil membawa makna besar – bukan sekadar menyalurkan air, tetapi melindungi keluarga, harta benda dan kesejahteraan komuniti.

Hujan sememangnya rahmat, namun tanpa tindakan segera, ia boleh bertukar menjadi bencana.

Di Sandapak, suara rakyat kini menunggu jawapan. Sebuah culvert yang diharap bukan sekadar menyelesaikan masalah banjir, malah menjadi jambatan keyakinan antara rakyat dan pemimpin yang benar-benar mendengar.-pr/BNN