KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor merakamkan penghargaan kepada syarikat korporat, GLC dan NGO yang tampil membantu mangsa bencana di Sabah, khususnya PETRONAS dan Yayasan PETRONAS yang setakat ini menyalurkan bantuan bernilai RM980,000 pada tahun ini.
Beliau berkata, sumbangan itu bukan sahaja meringankan beban mangsa banjir, malah mencerminkan keprihatinan sektor swasta dalam berkongsi tanggungjawab bersama kerajaan negeri menjaga kebajikan rakyat.
“Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan PETRONAS dan Yayasan PETRONAS. Usaha ini memperlihatkan komitmen tinggi syarikat tenaga negara dalam memastikan kesejahteraan rakyat Sabah terus terbela, terutama ketika menghadapi bencana banjir,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan di Menara Kinabalu, Rabu.
Sumbangan berkenaan termasuk bekalan asas, peralatan seperti tilam lipat, kanopi, kipas, bekalan air minuman, makanan paket kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kad sumbangan RM10,000 bagi pembelian bahan api untuk operasi bantuan.
Penyerahan dibuat oleh Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Puan Siti Ayu Abdul Wahab kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong.
Siti Ayu berkata, inisiatif itu adalah sebahagian komitmen berterusan PETRONAS dalam menyokong kesiapsiagaan dan bantuan bencana di Sabah, terutama menjelang musim tengkujuh.
“Melalui kerjasama dengan agensi negeri dan persekutuan, kami mahu memastikan bantuan sampai tepat pada masanya apabila diperlukan. Inisiatif ini juga dirancang secara proaktif setiap tahun,” katanya.
Hajiji menegaskan sokongan sektor swasta dan NGO amat penting dalam melengkapi usaha kerajaan serta mempercepatkan pemulihan mangsa bencana.
Beliau berharap lebih banyak syarikat tampil membantu agar bantuan dapat disalurkan segera dan berkesan kepada rakyat yang memerlukan. – BNN