KENINGAU: Penduduk Kampung Antolob kini menikmati kemudahan jalan konkrit baharu yang siap sepenuhnya, sekali gus memberi manfaat besar kepada kehidupan seharian masyarakat setempat.
Projek berkenaan diyakini mampu melancarkan pergerakan harian penduduk, selain meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya terutama ketika musim hujan.
Lawatan peninjauan turut diadakan baru-baru ini dengan kehadiran Pengerusi JKKK Kampung Antolob, Iderend Abie; wakil Pejabat ADUN N.40 Bingkor, Diana Basir; Pemaju Mukim Tuntumulud, Fredoline Tad Abin; serta Penyelia Kemajuan Masyarakat N.40 Bingkor, Mohd Zaki.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor merangkap Pembantu Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Robert Tawik @ Nordin, berkata kerajaan sentiasa berusaha memastikan masyarakat luar bandar tidak tersisih daripada arus pembangunan.
“Jalan konkrit di Kampung Antolob ini saya yakin akan memberi kemudahan yang lebih selesa dan selamat kepada penduduk dalam melaksanakan aktiviti harian mereka,” katanya.
Penyempurnaan projek itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Robert dalam memperjuangkan prasarana asas bagi kesejahteraan rakyat, khususnya masyarakat luar bandar di kawasan Bingkor.-pt/BNN