KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menzahirkan kebimbangan terhadap pelaksanaan had umur belia kepada 30 tahun yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari depan, yang disifatkan bakal menjejaskan penyertaan golongan berusia 31 hingga 40 tahun dalam program pembangunan belia negeri.

Presiden MBS, Abqaree Fawwaz Abekan, berkata langkah itu bukan sahaja akan menyingkirkan golongan berpotensi daripada program pembangunan kerajaan, malah boleh melumpuhkan proses pembinaan jati diri dan kepimpinan belia di Sabah.

“Apabila dikuatkuasakan, golongan 31 hingga 40 tahun akan tercicir daripada program pembangunan yang sebelum ini menjadi ruang pembelajaran dan bimbingan untuk mereka. Kerajaan berisiko kehilangan pengaruh terhadap kumpulan ini di masa depan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan pandangan tokoh psikologi Carl Gustav Jung, kehidupan sebenar seseorang bermula pada usia 40 tahun, dan tempoh sebelumnya adalah fasa pembelajaran serta pembentukan karakter.

Abqaree turut menegaskan, pengurangan had umur itu akan menyebabkan saiz kumpulan belia mengecil, sekali gus mengurangkan peruntukan kewangan bagi pembangunan belia di Sabah yang selama ini banyak bergantung kepada dana kerajaan.

“Apabila saiz belia mengecil, peruntukan juga akan berkurang dan akhirnya impak pembangunan belia negeri akan menurun. Keputusan ini dibuat tergesa-gesa tanpa mengambil kira realiti demografi, geografi dan kepelbagaian budaya di Sabah,” katanya.

Beliau menyeru kerajaan menilai semula dasar berkenaan agar tidak meminggirkan kumpulan usia 31 hingga 40 tahun yang masih aktif menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negeri.-pr/BNN