PUTATAN: Calon muda Gabungan Rakyat Sabah GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri DUN Tanjung Keramat, Shah Alfie bin Yahya menzahirkan rasa syukur selepas diumumkan secara rasmi sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan PRU DU kali ini.
Menurut beliau, pencalonan itu merupakan amanah besar yang digalas dengan penuh rendah hati.
“Saya bersyukur ke hadrat Illahi. Alhamdulillah, dengan pengumuman ini saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Bahagian PGRS Tanjung Keramat dan pimpinan GRS atas kepercayaan diberikan. Terutamanya kepada Yang Amat Berhormat Presiden, Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang memberikan mandat ini,” katanya.
Shah Alfie berkata beliau bersama jentera akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kerusi tersebut dimenangi GRS.
Menjawab persoalan mengenai kelayakan sebagai calon muda berusia 39 tahun, beliau menegaskan aspirasi golongan belia menjadi fokus utamanya memandangkan hampir 60 peratus penduduk di DUN Tanjung Keramat terdiri daripada anak muda.
“Walaupun saya muda, pengalaman sebagai Pegawai Khas Pejabat Parlimen Putatan selama tiga tahun serta Setiausaha Bahagian PGRS banyak membentuk kefahaman saya mengenai keperluan pengundi. Itu akan saya bawa ketika menyantuni masyarakat di DUN ini,” katanya.
Ditanya mengenai hubung kait beliau sebagai adik kepada Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya, yang pernah menyandang kerusi sama, Shah Alfie menegaskan pencalonannya bukan isu nepotisme kerana ia diputuskan sepenuhnya oleh parti.
“Ini keputusan parti dan ia telah mendapat mandat pucuk pimpinan GRS serta PGRS. Memang ada perbualan awam mengenai perkara itu, namun bagi saya ia bukan ukuran untuk saya bersenang-lenang. Saya tidak bergantung kepada populariti sesiapa.
“Saya mahu menawarkan khidmat dengan acuan sendiri sebagai calon muda tempatan yang membawa aspirasi belia di Putatan,” jelasnya.
Shah Alfie berkata fokusnya kini adalah turun bertemu pengundi, mendengar keperluan mereka serta menawarkan penyelesaian terbaik demi pembangunan Tanjung Keramat.-pr/BNN





