PUTATAN: Masyarakat setempat dinasihatkan untuk mempertingkat daya kreatif dalam menghadapi cabaran kos sara hidup dan keselamatan makanan di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat; Shah Alfie Yahya (SAY) berkata, menu sihat dalam permakanan rutin atau harian menjadi contoh untuk menangani isu keselamatan makanan selain menghindari perbelanjaan luar kawalan, lebih-lebih dengan konflik ekonomi global yang dihadapi seluruh dunia sekarang.

Jelasnya, menu makanan sihat tidak semestinya mahal dan ia memerlukan kreativiti masyarakat untuk beralih daripada rutin konvensional kepada menu sihat.

“Memasuki tahun 2026, cabaran kos sara hidup dan keselamatan makanan memerlukan kita lebih kreatif.

“Dengan menggunakan bahan-bahan tempatan Sabah yang segar daripada hasil laut kita sehinggalah kepada sayur-sayuran tanah tinggi kita sebenarnya sedang menyokong ekonomi kitaran komuniti kita sendiri.

“Apabila kita membeli dari jiran kita yang berbeza bangsa, di situlah Integrasi Nasional berlaku secara semula jadi, “katanya.

Beliau berkata demikian bersempena pelancaran Program Menu Sihat Perpaduan Peringkat Negeri Sabah anjuran Pusat Rukun Tetangga Taman Pantai Lok Kawi di Taman Pantai Lok Kawi, dekat sini, pada Sabtu.

Hadir sama adalah Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Sabah; Rina Abd Harun, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat; Latip Jiar dan Pegawai Kemajuan Masyarakat Tg Keramat; Syed Arizal Karim.

Mengulas lanjut, SAY yang juga Pengerusi Perkasa Trading Sdn Bhd itu berkata, pihaknya menyeru kepada semua Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan jentera perpaduan di seluruh Sabah untuk menjadikan elemen kesihatan ini sebagai aktiviti rutin di kawasan masing-masing.

“Gunakan platform Menu Sihat untuk menarik minat generasi muda (Gen Z dan Gen Alpha) agar mereka menghargai warisan makanan tradisi yang telah diubah suai menjadi lebih sihat.

“Menu Sihat Perpaduan ini membawa mesej yang sangat jelas di mana melalui pemakanan seimbang, kita mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit.

“Sejak dahulu lagi, meja makan adalah tempat di mana jurang perbezaan dihapuskan, kita makan bersama, berkongsi resipi, dan saling menghormati budaya masing-masing, “katanya lagi.-pr/BNN