KOTA MARUDU: Kerjasama baik pemimpin parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengukuhkan kedudukan gabungan itu bagi memastikan Parlimen Kota Marudu diwakili wakil rakyat kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka diadakan tahun depan.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berdasarkan kedudukan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tandek, Matunggong dan Bandau yang dikuasai wakil serta penyokong GRS.

Pengerusi GRS itu berkata, walaupun DUN Bandau diwakili wakil rakyat Bebas, Datuk Maijol Mahap, beliau menyokong kepimpinan kerajaan GRS selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada akhir November tahun lalu.

“Saya yakin terhadap gabungan kerjasama wakil rakyat kita di sini, semuanya GRS, malah Datuk Maijol, walaupun beliau wakil rakyat bebas, tapi dia ‘GRS’ juga itu dan saya yakin kita akan menang di Kota Marudu pada pilihan raya Parlimen akan datang.

“Kita akan pastikan Kota Marudu diwakili parti kerajaan pada PRU akan datang.

Berikutan itu, saya minta agar rakyat jangan terpengaruh dengan retorik dimainkan pemimpin pembangkang, mereka tidak dapat buat apa-apa.

“Sekarang adalah kerajaan GRS, kita ada lima tahun lagi, jadi rakyat perlu fikir dengan baik, sokonglah parti yang memerintah. Kita buat macam-macam sepanjang lima tahun lalu melalui inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) yang sekarang diteruskan ke fasa 2.0,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri ADUN Bandau dan Pejabat Daerah Kota Marudu di Astaka Dataran Kota Marudu, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama ADUN Bandau yang juga Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Maijol Mahap.

Hajiji berkata, tumpuan kerajaan pimpinannya kini adalah untuk menyelesaikan isu bekalan air, elektrik dan jalan raya yang diyakininya mampu diselesaikan dalam tempoh setahun dua dari sekarang.

“Dalam mesyuarat Kabinet, isu ini diutamakan untuk diselesaikan dan kita yakin dalam tempoh satu dua tahun ini banyak masalah yang kita akan selesaikan menggunakan peruntukan yang ada.

“Malah, baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai lebih RM4 bilion kepada kerajaan negeri untuk dilaksanakan.

“Dulu kerajaan Pusat yang buat, tapi sekarang mereka yakin atas kebolehan kerajaan negeri, lalu turunkan kuasa kepada Ketua Menteri. Jadi, projek BALB ini akan dilaksanakan kerajaan negeri mulai tahun ini,” katanya.

Sementara itu, beliau mengulangi komitmen kerajaan pimpinannya terhadap usaha berterusan untuk membantu rakyat, terutama golongan miskin dan susah di samping melaksanakan pembangunan negeri.

“Masih banyak yang perlu dilaksanakan terutama memastikan rakyat yang susah dan yang perlu dibantu mesti kita santuni.

“Kerajaan GRS akan mengambil apa juga usaha untuk melakukan ini dan untuk makluman hadirin, pada tahun ini saja, dalam konteks membantu rakyat kita di bawah, tahun ini kerajaan telah setuju beri bantuan kepada 140,000 rakyat kita dalam kategori miskin dan miskin tegar.

“Ribuan orang yang mendapat manfaat di Kota Maurudu ini, inilah usaha kerajaan GRS yang tidak pernah dibuat oleh kerajaan sebelum ini, kita peduli rakyat, kita prihatin rakyat di bawah.

“Kita rancang ekonomi untuk menjana ekonomi negeri, tapi kita jangan lupa bantu mereka yang perlukan bantuan, khususnya rakyat kita. Itulah antara perjuangan kerajaan yang ditunjangi GRS,” katanya.

Pada majlis itu, Ketua Menteri turut mengumumkan kelulusan dua projek pembangunan untuk manfaat rakyat, khususnya di DUN Bandau yang masing-masing diberi peruntukan RM500,000.

Projek itu ialah pembinaan masjid baharu Kampung Tambun dan Jambatan Dasar Kampung Lamparda.-pr/BNN