KOTA KINABALU: Ketua Pegawai Eksekutif D’Heritage Sdn. Bhd., YBhg. Datuk Dr. Hajah Rosmawati Haji Lasuki, JP menegaskan bahawa hubungan strategik dan kerjasama bermakna merupakan elemen penting dalam landskap perniagaan masa kini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena program Business Connect Hi-Tea yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Menurut beliau, penganjuran program tersebut bukan sekadar sesi jaringan perniagaan biasa, sebaliknya satu platform terancang yang menghimpunkan pihak berkepentingan, pemimpin industri serta rakan strategik bagi meneroka peluang baharu dan memperkukuh kerjasama sedia ada.
“Dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah, jaringan hubungan bukan lagi satu kelebihan, tetapi satu keperluan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa SICC bukan sahaja menyediakan ruang bertaraf dunia bagi mesyuarat, pameran dan acara, malah berperanan sebagai rakan penasihat yang memahami keperluan pelanggan secara menyeluruh.
Katanya, pendekatan tersebut merangkumi usaha merancang pengalaman acara yang memberi impak, meningkatkan kehadiran peserta, menggalakkan penglibatan serta membuka peluang hasil perniagaan yang lebih luas.
“Program ini mencerminkan falsafah kami. Kami bukan sekadar menjadi tuan rumah, tetapi menghubungkan komuniti perniagaan agar perbincangan dapat diterjemahkan kepada kerjasama dan perkongsian strategik,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan para tetamu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia dengan bertukar pandangan, berkongsi idea dan meneroka potensi kerjasama baharu.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan atas kepercayaan dan sokongan berterusan semua pihak terhadap organisasi tersebut.
“Semoga hubungan yang terjalin hari ini terus diperkukuh dan memberi manfaat kepada kejayaan bersama pada masa hadapan,” katanya. -BNN





