KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menyambut baik pengiktirafan Kerajaan Negeri Sabah yang menjadikan PPNS sebagai anak angkat kepada kerajaan  melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah.

Melalui pengiktirafan tersebut, pelbagai inisiatif kerajaan negeri yang diumumkan memberi manfaat kepada rakyat di Negeri Sabah serta ahli peladang Sabah khususnya bagi memperkukuh sektor agromakanan, melibatkan pelaksanaan Inisiatif Kebun Dapur dan kemudahan pinjaman tanpa faedah kepada usahawan tani muda.

Pengerusinya, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, langkah diperkenalkan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Jamawi Jaafar itu dilihat tepat pada masanya dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan negeri terus kukuh, selain meningkatkan daya tahan sektor pertanian berdepan cabaran kos input yang semakin meningkat.

Tambahnya juga dengan latar belakang Datuk Jamawi Jaafar yang merupakan mantan Ahli Jemaah Pengarah PPNS selama dua penggal, jelas tindakannya untuk membangunkan sektor pertanian di negeri ini dilakukan dengan ikhlas dan komited. Beliau mempunyai jiwa dan sentimental peladang yang mendalam dan amat dekat dihati masyarakat peladang seluruhnya.

“Pendekatan menyeluruh melalui Inisiatif Kebun Dapur bukan sahaja menggalakkan rakyat menghasilkan makanan sendiri, malah mampu memperluas rantaian pengeluaran makanan di peringkat komuniti.

“Pada masa sama, usaha memperkukuh sektor akuakultur dan penternakan kecil akan membantu meningkatkan sumber protein tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Ahli Jemaah Pengarah PPNS mengadakan kunjungan hormat kepada Jamawi di Wisma Pertanian Sabah, di sini, kelmarin dan antara barisan Ahli Jemaah Pengarah PPNS  adalah Datuk Ng Loi Tek (Timbalan Pengerusi PPNS), Tan Sri Wences Anggang, Datuk Dr. George Sangkin, Datuk Haji Faimin bin Kamin, Datuk Haji Abd Rahim Oting, Datuk Abu Bakar bin Gapar, En. Benny Franklin Hartheman, En. Lawrence P. Saibon, En. Mohd Nazzuan bin Mohd Nazri (Ketua Peladang Muda Negeri), En Desmond Loo, En. Ruddy Hasmawie bin Mohamad (Pengurus Besar PPNS) dan En. Asboni Baritus ( Pengurus Hal Ehwal Korporat PPNS).

Mohd Nazri berkata, kemudahan pinjaman tanpa faedah sehingga RM50,000 kepada golongan belia merupakan pemangkin penting dalam menarik lebih ramai generasi muda menceburi sektor agromakanan.

Katanya, inisiatif itu bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah mampu melahirkan usahawan tani baharu yang berdaya saing serta berinovasi dalam pengeluaran makanan.

“PPNS melihat langkah ini sebagai satu suntikan signifikan dalam memperkasa golongan muda sebagai pemacu baharu sektor pertanian negeri.

“Dengan sokongan pembiayaan serta bimbingan teknikal yang berterusan, kita yakin lebih ramai belia akan tampil meneroka bidang pertanian moden yang berpotensi menjana pendapatan mampan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha kerajaan mewujudkan pusat pengumpulan hasil pertanian di seluruh negeri bagi memudahkan pemasaran hasil, sekali gus membantu peladang mendapatkan pulangan lebih stabil.

Menurutnya, pendekatan bersepadu merangkumi pengeluaran, pembiayaan dan pemasaran akan memperkukuh keseluruhan ekosistem agromakanan Sabah.

“Peranan agensi seperti PPNS akan terus diperkasakan bagi menyokong pelaksanaan dasar kerajaan, termasuk membantu peladang dari segi latihan, teknologi serta akses pasaran.

“Dengan pengiktirafan ini, kita komited untuk bekerjasama rapat dengan kementerian dalam memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi manfaat maksimum kepada rakyat,” katanya.

Mohd Nazri menegaskan, gabungan usaha kerajaan dan agensi pelaksana diyakini mampu menjadikan sektor pertanian Sabah lebih moden, berdaya tahan dan berupaya menjamin bekalan makanan negeri dalam jangka panjang.-pr/BNN