KOTA KINABALU: Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming berhubung isu hak 40 peratus Sabah terus mengundang reaksi apabila mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said tampil membidasnya sebagai tidak berasas dan mengelirukan rakyat.

Beliau menegaskan, kenyataan pemimpin pembangkang itu bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah berpotensi menjejaskan usaha rundingan strategik yang sedang dilaksanakan secara berterusan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Isu tuntutan 40 peratus ini sedang ditangani secara serius melalui saluran rasmi dan rundingan berperingkat. Ia bukan perkara yang boleh diselesaikan dengan retorik atau tekanan politik terbuka seperti yang cuba digambarkan.

“Cubaan menanam persepsi bahawa hak Sabah sedang ‘dicairkan’ adalah tidak berasas dan hanya mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas dakwaan Chin bahawa hak 40 peratus adalah kewajipan perlembagaan yang tidak boleh tertakluk kepada keadaan ekonomi, Jerry berkata, pendekatan pelaksanaan dalam konteks pentadbiran negara perlu mengambil kira realiti fiskal tanpa menjejaskan prinsip asas hak tersebut.

“Hak itu tidak pernah dinafikan. Namun, pelaksanaannya memerlukan pendekatan yang tersusun, realistik dan mengambil kira keupayaan kewangan negara agar ia dapat dilaksanakan secara mampan dan berkesan.

“Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor kekal komited mempertahankan hak Sabah melalui pendekatan rundingan yang matang, bukan konfrontasi politik,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kritikan terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud sebagai tidak adil kerana dibuat tanpa memahami konteks sebenar pengurusan fiskal negara.

“Dalam pentadbiran, keupayaan ekonomi adalah faktor penting dalam menentukan kaedah pelaksanaan sesuatu kewajipan, namun ia tidak bermaksud hak itu dinafikan atau dipinggirkan seperti yang didakwa.

“Menjadikan perkara ini sebagai polemik politik hanya akan melemahkan kedudukan Sabah dalam rundingan,” katanya.

Jerry turut menolak dakwaan bahawa kerajaan negeri berdiam diri berhubung isu berkenaan, sebaliknya menegaskan usaha memperjuangkan hak Sabah sentiasa dilaksanakan secara konsisten dan berterusan di pelbagai peringkat.

“Tidak semua proses rundingan boleh didedahkan secara terbuka kerana ia melibatkan strategi dan diplomasi antara kerajaan.

“Menuduh kerajaan negeri ‘berdiam diri’ adalah tidak tepat dan bersifat prejudis,” katanya.

Mengulas isu usul persendirian yang tidak dibahaskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini, beliau berkata perkara itu tertakluk kepada peraturan mesyuarat dan keutamaan urusan dewan.

“Tidak wajar untuk membuat kesimpulan bahawa ia satu usaha mengelak akauntabiliti. Sebaliknya, isu sebesar ini perlu ditangani secara menyeluruh dan berstruktur, bukan melalui pendekatan populis.

“Rakyat Sabah memerlukan penyelesaian tuntas, bukan sekadar kenyataan politik yang bersifat sensasi,” katanya.

Sehubungan itu, Jerry menggesa semua pihak supaya menghentikan polemik politik yang tidak membina dan memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk meneruskan rundingan secara konstruktif demi kepentingan jangka panjang Sabah.

“Perjuangan menuntut hak Sabah memerlukan kesatuan, kebijaksanaan dan strategi, bukan retorik yang boleh menjejaskan kekuatan rundingan negeri.

“Apa yang penting adalah hasil yang memberi manfaat sebenar kepada rakyat Sabah,” katanya.-pr/BNN