KOTA KINABALU: Mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd Said mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan isu tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah sehingga mengelirukan rakyat dan menjejaskan usaha kerajaan negeri mempertahankan hak negeri itu.

Beliau berkata, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming yang mempertikaikan pendekatan rundingan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, tidak mencerminkan keseluruhan realiti proses perundangan dan hubungan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kerajaan negeri ketika ini mengambil pendekatan matang, tersusun dan bertanggungjawab dalam memastikan hak Sabah terus diperjuangkan mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

“Ia bukan isu yang boleh diselesaikan dengan retorik politik atau kenyataan populis semata-mata.

“Kerajaan negeri sudah mengambil langkah sewajarnya melalui rundingan dan saluran perundangan yang sah demi memastikan kepentingan Sabah terus dipelihara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jerry berkata, tindakan Chin menggambarkan seolah-olah rundingan sudah gagal sepenuhnya adalah tidak adil dan hanya mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat Sabah.

Katanya, proses mahkamah yang sedang berjalan tidak bermakna rundingan tidak lagi relevan kerana kedua-dua mekanisme itu boleh bergerak seiring dalam mencari penyelesaian terbaik.

Beliau berkata, hasil rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan sebelum ini turut membawa kepada peningkatan bayaran khas interim kepada Sabah.

“Ini membuktikan rundingan masih memberi manfaat dan hasil positif kepada negeri ini. Janganlah kerana mahu dilihat lantang, ada pihak sanggup menafikan segala usaha yang sedang dilakukan kerajaan negeri,” katanya.

Mengulas penolakan usul persendirian Chin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Jerry berkata, setiap usul perlu mematuhi peraturan mesyuarat dan mengambil kira implikasi undang-undang, khususnya apabila perkara berkaitan masih dalam proses kehakiman.

Katanya, isu hak Sabah tidak sepatutnya dijadikan bahan politik murahan sehingga boleh menjejaskan perpaduan dan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.

“Perjuangan menuntut hak Sabah memerlukan kebijaksanaan, kesabaran dan strategi yang tersusun, bukannya kenyataan yang hanya membangkitkan sentimen politik.

“Rakyat Sabah cukup matang untuk menilai siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya bermain persepsi,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan pimpinan Hajiji kekal komited mempertahankan hak Sabah, termasuk berkaitan Perkara 112C dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, demi kepentingan jangka panjang rakyat negeri ini.-pr/BNN