KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkukuh tadbir urus biodiversiti, agenda bioekonomi dan bioteknologi menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Bioteknologi Sabah 2024-2034, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, pelan tindakan itu menjadi kerangka strategik negeri bagi memanfaatkan kekayaan biodiversiti Sabah secara bertanggungjawab dan berasaskan sains untuk menjana nilai ekonomi yang lebih tinggi, memperkukuh penyelidikan serta inovasi, selain membangunkan industri bioteknologi yang mampan.

“Melalui pelaksanaan pelan tindakan ini, Sabah berhasrat menghubungkan pemuliharaan biodiversiti dengan pembangunan sosioekonomi, di samping memastikan sumber biologi dan pengetahuan tradisional dimanfaatkan secara lestari serta manfaatnya dikongsi secara adil dan saksama kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah 2026 sempena sambutan Hari Biodiversiti Sedunia Peringkat Negeri di Hotel Hilton, di sini, malam Isnin.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.

Sementara itu, Hajiji berkata tadbir urus biodiversiti negeri terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif termasuk pendigitalan sistem pengurusan serta perlindungan pengetahuan tradisional.

“Langkah ini penting bagi memastikan khazanah yang tidak ternilai ini terus dipelihara dan dimanfaatkan secara lestari untuk generasi masa kini dan akan datang,” katanya.

Menurut beliau, tema Hari Biodiversiti Sedunia tahun ini, “Bertindak di Peringkat Tempatan untuk Impak Global”, amat bertepatan dengan perjalanan Sabah dalam membuktikan bahawa tindakan di peringkat tempatan mampu memberikan impak besar di peringkat antarabangsa.

“Sabah bukan sahaja kaya dengan biodiversiti, malah merupakan antara wilayah yang memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada agenda pemuliharaan biodiversiti global,” katanya.

Sebagai bukti komitmen itu, Sabah telah memperluaskan lagi Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) menerusi pewartaan kira-kira 216,000 hektar kawasan perlindungan baharu yang merangkumi Hutan Simpan Komersial dan tanah kerajaan.

Katanya, langkah itu meningkatkan keluasan keseluruhan TPA negeri kepada 2.227 juta hektar atau 30.06 peratus daripada keluasan tanah Sabah, sekali gus menyumbang kepada Sasaran 3 Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal yang mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus kawasan daratan, perairan daratan, marin dan pesisir pantai dipulihara serta diurus secara berkesan menjelang 2030.

Hajiji berkata Sabah terus menjadi destinasi utama penyelidikan biodiversiti.

“Hutan DaMaI (Danum-Maliau-Imbak) yang merangkumi Kawasan Pemuliharaan Lembah Danum, Kawasan Pemuliharaan Lembangan Maliau dan Kawasan Pemuliharaan Imbak Canyon merupakan hab penyelidikan biodiversiti bertaraf dunia yang menarik penyelidik tempatan serta antarabangsa.

“Peningkatan permohonan Lesen Akses Sumber Biologi Negeri di bawah Enakmen Biodiversiti Sabah 2000 turut membuktikan pengiktirafan Sabah sebagai pusat penyelidikan biodiversiti terkemuka di rantau ini.

“Pelbagai penemuan penting hasil penyelidikan termasuk spesies baharu, inovasi, dokumentasi habitat kritikal serta pembangunan pendekatan pemuliharaan merupakan hasil kajian yang dijalankan di Sabah,” katanya.

Beliau berkata satu lagi pencapaian bersejarah dalam penyelidikan biodiversiti Sabah ialah pemeteraian Perjanjian Perkongsian Faedah pertama antara Kerajaan Sabah dan Botanickel Sabah Sdn. Bhd. pada September 2025.

“Projek ini memberi tumpuan kepada kelestarian alam sekitar serta penggunaan sumber secara cekap melalui teknologi fitoekstraksi yang inovatif, melibatkan penggunaan tumbuhan hiperakumulator Sabah untuk mengekstrak nikel daripada tanah.

“Ia dijangka memberi impak positif kepada komuniti setempat melalui peluang pekerjaan, aktiviti ekonomi, kontrak pertanian jangka panjang serta integrasi ekopelancongan, di samping menghantar isyarat kukuh kepada penyelidik, pelabur dan industri antarabangsa untuk meneroka potensi besar bioekonomi Sabah,” katanya.

Sejajar dengan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi, Hajiji berkata Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik Sabah diperkenalkan sebagai platform untuk mengiktiraf penyelidik tempatan dan antarabangsa yang memberikan sumbangan cemerlang dalam memperkaya ilmu pengetahuan mengenai biodiversiti Sabah.

“Saya berharap anugerah ini akan terus menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi yang mampu mengangkat kedudukan Sabah di persada dunia, di samping menyumbang kepada usaha berterusan memulihara, melindungi dan memanfaatkan biodiversiti secara lestari di peringkat tempatan, nasional dan global,” katanya.-pr/BNN