KENINGAU: Institusi masjid terus memainkan peranan sebagai pusat pembangunan komuniti apabila seramai 22 peserta menyertai Kursus Pembuatan Meatball Halal anjuran Biro Kebajikan & Muslimah Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor yang berlangsung di Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor, di sini, hari ini.

Program yang bertujuan meningkatkan kemahiran penyediaan makanan halal serta membuka peluang keusahawanan itu dikendalikan oleh Puan Suriaty Rahmat yang berkongsi teknik menghasilkan meatball buatan sendiri secara halal, bersih, selamat dan berkualiti, selain menjimatkan kos perbelanjaan isi rumah.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran dan Pengurusan Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd. Hasnan Tawik @ Charles.

Dalam ucapannya, Yazid merakamkan penghargaan kepada Biro Kebajikan & Muslimah bersama seluruh jawatankuasa penganjur atas komitmen menjayakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Puan Suriaty Rahmat atas kesudian berkongsi ilmu dan pengalaman dalam penyediaan makanan halal yang berkualiti.

“Program seperti ini bukan sekadar meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta, malah mampu membantu keluarga menyediakan makanan yang lebih bersih, selamat serta diyakini halal, di samping mengurangkan kos perbelanjaan harian.

“Lebih penting, kemahiran yang diperoleh boleh dimanfaatkan sebagai asas kepada perusahaan kecil atau perniagaan dari rumah yang berpotensi menjana pendapatan tambahan kepada keluarga,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran kursus berasaskan kemahiran juga selaras dengan usaha memperkasakan masyarakat melalui penguasaan ilmu praktikal yang mampu meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti.

Katanya, institusi masjid tidak seharusnya hanya berfungsi sebagai tempat beribadah, sebaliknya perlu terus diperkasakan sebagai pusat pembangunan ilmu, kebajikan, kemahiran dan ekonomi ummah yang memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak program latihan dan kursus kemahiran dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi melahirkan masyarakat yang lebih berdaya saing, berdikari dan mempunyai nilai tambah dalam pelbagai bidang.-pr/BNN