KOTA KINABALU: Aktivis masyarakat, Aksyah Haji Nasrah mengecam tindakan seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Hamdin Nordin, yang didakwa menggunakan bahasa kesat terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, sambil menyifatkan perbuatan itu sebagai mencerminkan kemerosotan adab dalam berpolitik.
Beliau berkata, mahasiswa sepatutnya memanfaatkan peluang menuntut ilmu untuk membina pemikiran yang matang dan beradab, bukannya menggunakan kata-kata seperti “bacul” dan “celaka” terhadap seorang pemimpin negeri hanya kerana tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan.
“Adakah pelajar ini benar-benar membina landasan perjuangan dengan kecelikan akal ataupun hanya bermulut puaka? Menuntut ilmu di universiti adalah untuk membina akal yang celik, bukannya membiarkan mulut menjadi celaka,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Aksyah berkata, tuduhan Hamdin terhadap Hajiji adalah meleset memandangkan Ketua Menteri ketika ini berada di Tanah Suci Makkah menunaikan ibadah dan mendoakan kesejahteraan rakyat Sabah.
Beliau berkata, menerusi perkongsian Hajiji di Facebook, Ketua Menteri itu menyatakan rasa kerdil di hadapan Baitullah sambil memohon kepada Allah SWT agar Sabah dan seluruh rakyatnya terus dikurniakan keamanan, kesejahteraan serta perlindungan daripada segala musibah.
Menurutnya, keadaan itu memperlihatkan perbezaan ketara antara seorang pemimpin yang terus mendoakan kebaikan, kesihatan dan rezeki buat seluruh rakyat, termasuk individu yang mengkritiknya, dengan pihak yang memilih untuk menghamburkan kata-kata kesat atas nama perjuangan.
Aksyah berkata, Islam mengajar bahawa politik dan agama tidak boleh dipisahkan, malah adab perlu terus dipelihara walaupun berhadapan dengan lawan politik.
Beliau turut mengimbau sejarah Islam dengan menyatakan Panglima Islam, Sultan Salahuddin al-Ayyubi, pernah menghantar tabib dan buah-buahan segar bagi merawat musuhnya, Raja Richard the Lionheart, ketika Perang Salib.
“Musuh dalam peperangan pun tetap disantuni dengan akhlak yang tinggi. Malangnya, anak muda hari ini meniru budaya politik Barat yang liar sehingga maki hamun dianggap sebagai lambang keberanian,” katanya.
Aksyah turut membandingkan keadaan itu dengan budaya politik di Sabah apabila penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS), katanya, tetap menjaga adab ketika Presiden Parti Warisan menunaikan ibadah umrah tanpa menghina atau memperlekehkan amalan rohani pemimpin pembangkang berkenaan.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa pihak pembangkang tidak mampu menunjukkan tahap kematangan dan disiplin rohani yang sama terhadap Hajiji.
Menyentuh isu sekatan imigresen terhadap Pengarah Eksekutif Bersih, Asraf Sharafi, Aksyah mendakwa Hamdin cuba memainkan sentimen dengan menggambarkan Asraf sebagai mangsa yang dihalang bertemu keluarga.
Sebaliknya, beliau menegaskan kuasa imigresen Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diwujudkan bagi mempertahankan keselamatan negeri dan bukannya berasaskan pertimbangan emosi.
Katanya, Hajiji memahami bahawa pembangunan Sabah memerlukan kestabilan yang menyeluruh dan tidak boleh diganggu oleh unsur luar yang cuba membawa budaya demonstrasi jalanan ke negeri ini.
“Keputusan pihak imigresen adalah langkah pencegahan demi menjaga keselamatan awam,” katanya.
Aksyah menasihatkan Hamdin dan mahasiswa lain supaya berfikir secara matang sebelum mengeluarkan kenyataan, selain tidak menjadi “pak turut” kepada agenda pihak tertentu sehingga menggadaikan maruah diri dan adab sebagai anak watan Sabah.
Beliau juga berpandangan bahawa mana-mana pelajar yang didapati terbabit dalam cubaan menimbulkan kekacauan di Sabah wajar dipertimbangkan untuk dikenakan tindakan tatatertib, sambil berpendapat Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi tidak perlu campur tangan dalam urusan pengurusan UMS berhubung perkara itu.-pr/BNN




