KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah mengambil perhatian serius terhadap insiden membabitkan seorang murid yang terjatuh di kawasan sebuah sekolah di Papar baru-baru ini.
Dalam kenyataan hari ini, JPN Sabah memaklumkan pihak sekolah bertindak segera sebaik kejadian berlaku dengan memberikan bantuan awal kepada mangsa, memaklumkan keluarga serta pihak polis, selain mengawal kawasan kejadian bagi mengelakkan suasana panik.
Menurut kenyataan itu, mangsa telah menerima pemeriksaan dan rawatan di hospital, dengan laporan perubatan mengesahkan murid berkenaan tidak mengalami kecederaan serius dan kini berada dalam keadaan stabil.
JPN Sabah berkata, kebajikan, keselamatan serta kesejahteraan emosi mangsa terus diberi perhatian melalui pemantauan berterusan oleh pihak sekolah dan jabatan.
Katanya, sokongan psikososial serta emosi turut disediakan kepada mangsa dan warga sekolah yang terkesan bagi memastikan keadaan kembali terkawal dan kondusif.
Dalam pada itu, JPN Sabah menegaskan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung siasatan yang sedang dijalankan.
“Hasil siasatan awal pihak sekolah mendapati tiada unsur jenayah atau buli dalam kejadian ini,” menurut kenyataan berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan selain menjejaskan kesejahteraan mangsa, keluarga dan seluruh warga sekolah.
JPN Sabah turut mengingatkan semua pihak agar memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional serta menghormati privasi mangsa dan keluarga.-pr/BNN





