KENINGAU: Kebimbangan ibu bapa dan penjaga mengenai keselamatan anak-anak di Sekolah Kebangsaan (SK) Luagan susulan kewujudan parit terbuka berhampiran kawasan parkir sekolah kini terlerai selepas Majlis Daerah Keningau (MDK) mengambil tindakan segera menutup parit berkenaan.
Kerja penutupan parit melalui penyimenan itu dilaksanakan MDK susulan aduan penduduk Kampung Toboh Baru, Gabrine Ahmad, yang membangkitkan kebimbangan terhadap risiko keselamatan di lokasi terbabit beberapa minggu lalu.
Sebelum ini, parit yang terdedah dikhuatiri boleh mengundang kemalangan, terutama kepada ibu bapa dan penjaga yang menggunakan kawasan parkir sekolah setiap hari untuk menghantar serta mengambil anak masing-masing.
Tindakan pantas MDK itu kini menjadikan kawasan berkenaan lebih selamat, teratur dan selesa, sekali gus mendapat penghargaan daripada penduduk yang menyifatkan respons berkenaan sebagai bukti keprihatinan pihak berkuasa tempatan terhadap isu yang menyentuh keselamatan komuniti.
“Keselamatan bukan hanya dibina melalui projek mega, tetapi bermula dengan kesungguhan menyelesaikan masalah kecil yang menyentuh kehidupan harian rakyat. Sebuah parit yang berjaya ditutup mungkin kelihatan sederhana, namun memberi ketenangan hati kepada ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah tanpa lagi dibayangi kebimbangan,” katanya.-pr/BNN





