KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi membincangkan isu harga tiket penerbangan Sabah-Semenanjung yang semakin membebankan rakyat.
Pertemuan berkenaan dilihat sebagai langkah susulan selepas Aliakbar sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai kenaikan mendadak tambang penerbangan, khususnya bagi laluan Kota Kinabalu-Kuala Lumpur dan sebaliknya.
Beliau sebelum ini mendedahkan hasil semakan mendapati harga tiket bagi beberapa tempoh perjalanan, termasuk ketika cuti sekolah dan hari biasa, berada pada paras tinggi sehingga sekitar RM900 untuk perjalanan pergi dan balik.
Menurut Aliakbar yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah, keadaan itu memberi tekanan kepada pelbagai golongan rakyat termasuk pelajar, guru, mahasiswa serta keluarga yang perlu berulang-alik di antara Sabah dan Semenanjung atas urusan pendidikan, pekerjaan dan kekeluargaan.
Susulan menerima banyak aduan daripada rakyat, beliau sebelum ini turut menyatakan hasrat mengemukakan surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya isu berkenaan mendapat perhatian di peringkat Persekutuan.
Dalam pertemuan dengan Hajiji itu, Aliakbar turut menjelaskan situasi sebenar yang dihadapi rakyat Sabah serta keperluan untuk mencari pendekatan lebih berkesan bagi memastikan tambang penerbangan tidak terus membebankan pengguna.
Hajiji menyambut baik perkara tersebut dan memberikan respons positif terhadap usaha membawa isu tambang penerbangan itu untuk perhatian kerajaan.
Ketua Menteri turut dilihat memberi perhatian terhadap kebimbangan yang disampaikan Aliakbar, khususnya kesannya kepada rakyat Sabah yang bergantung kepada pengangkutan udara untuk menghubungkan negeri ini dengan Semenanjung.
Aliakbar berkata, isu harga tiket bukan lagi sekadar masalah bermusim ketika musim perayaan, sebaliknya perlu dilihat sebagai isu yang mempunyai kesan langsung terhadap kos sara hidup dan mobiliti rakyat Sabah.
“Saya amat menghargai kesediaan Ketua Menteri mendengar dan memberi perhatian terhadap perkara ini. Kita berharap perbincangan ini menjadi titik permulaan kepada usaha yang lebih menyeluruh untuk mencari penyelesaian kepada masalah tambang penerbangan yang dihadapi rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata, suara rakyat perlu dibawa melalui saluran yang sewajarnya supaya isu tersebut dapat dibincangkan bersama kerajaan negeri dan Persekutuan, termasuk pihak berkaitan dalam sektor penerbangan.
Aliakbar turut menegaskan bahawa matlamat utama usaha berkenaan bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya mencari mekanisme yang mampu menjadikan perjalanan udara antara Sabah dan Semenanjung lebih munasabah serta mampu ditanggung rakyat.
“Rakyat Sabah bukan meminta sesuatu yang luar biasa. Mereka hanya mahu harga tiket yang lebih berpatutan supaya urusan pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan keluarga tidak terbeban,” katanya.
Sebelum ini, Aliakbar berkata semakan terhadap harga tiket mendapati tambang penerbangan bagi laluan utama Sabah-Semenanjung kekal tinggi walaupun bukan pada musim perayaan.
Beliau turut menerima maklum balas daripada guru dan mahasiswa yang mendakwa terpaksa menangguhkan atau mengehadkan perjalanan kerana kos penerbangan yang tinggi.
Perkembangan terbaharu itu diharap membuka ruang kepada kerjasama lebih erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu tambang penerbangan yang sudah lama menjadi keluhan rakyat Sabah.-pr/BNN





