KOTA KINABALU: ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, bersedia membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung penyebaran dokumen sulit berkaitan pembelian aset peribadinya oleh sebuah akaun Facebook, Mawar Channel.
Jasnih yang juga Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd berkata, dokumen berkenaan tidak sepatutnya didedahkan kepada umum kerana ia hanya berada dalam simpanan pihak yang terbabit dalam proses sah pembelian aset.
“Saya sebenarnya menunggu Mawar Channel mengeluarkan dokumen sulit ini untuk membuat laporan polis dan MCMC kerana dokumen ini tidak sepatutnya dipaparkan oleh mana-mana pihak.
“Bagaimanapun, apabila dokumen itu sudah didedahkan, saya kini boleh mengecilkan skop pencarian mengenai sumber kebocoran,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, pihaknya sudah menghubungi bank dan firma guaman yang terbabit bagi mendapatkan penjelasan berhubung kebocoran dokumen yang didakwa diperoleh daripada seorang ‘whistleblower’.
Menurutnya, isu itu bukan sekadar membabitkan kredibilitinya sebagai pembeli, malah turut menimbulkan persoalan terhadap aspek amanah dan kerahsiaan yang diberikan kepada bank serta firma guaman terbabit.
“Pihak bank dan firma guaman yang diberikan kepercayaan untuk memegang amanah dan kerahsiaan kini diragui. Justeru, tindakan undang-undang adalah cara terbaik untuk membersihkan imej mereka.
“Mereka juga mempunyai reputasi yang perlu dipertahankan, demikian juga saya. Saya tiada halangan dan sama-samalah kita bertindak,” katanya.
Mengulas dakwaan berkaitan pembelian rumah dua tingkat bernilai RM1.9 juta, Jasnih berkata, beliau tidak bimbang kerana urusan pembelian aset itu dibuat secara teratur dan sah melalui institusi pinjaman yang sah.
Katanya, pengalaman lebih 20 tahun dalam urusan jual beli aset serta latar belakang akademiknya dalam bidang ekonomi membolehkannya memahami kelayakan pembiayaan dan proses berkaitan.
“Saya tidak risau dan bersyukur kerana sekurang-kurangnya perkara ini membuktikan saya membuatnya secara teratur dan sah,” katanya.
Jasnih turut menasihatkan golongan muda yang baru bekerja supaya memberi keutamaan kepada pemilikan rumah sebagai persediaan masa depan, selain mendapatkan nasihat daripada institusi kewangan berdaftar mengenai kemampuan pembiayaan masing-masing.
Dalam pada itu, beliau menegaskan penyebaran dokumen sulit berkenaan wajar dijadikan pengajaran supaya aspek kerahsiaan dan amanah dalam urusan rasmi terus dihormati.
“Mudah-mudahan ia menjadi suatu kebaikan dan pengajaran. Insya-Allah,” katanya.-pr/BNN





