KOTA KINABALU: Kelab Komuniti Sayang Sabah menyifatkan penggunaan “jenaka Katolik” oleh seorang perwakilan Umno Selangor ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 sebagai tidak wajar dan tidak sensitif terhadap masyarakat beragama Kristian.
Timbalan Presidennya, Steve Johnny Mositun, berkata tokoh agama, kitab suci dan kepercayaan mana-mana komuniti tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka, khususnya di pentas politik nasional.
“Malaysia ialah sebuah negara majmuk. Keharmonian yang kita nikmati bergantung pada sikap saling menghormati antara agama dan kaum, bukan sekadar ketika keadaan tenang tetapi juga dalam cara pemimpin memilih kata-kata mereka,” katanya.
Beliau berkata perkara itu amat dekat dengan masyarakat Sabah yang sejak sekian lama mengamalkan kehidupan berbilang agama dan kaum dalam suasana saling menghormati.
“Di Sabah, perbezaan agama bukan alasan untuk kita saling merendahkan. Semangat hidup bersama inilah yang mesti dipertahankan dan dicontohi,” katanya.
Steve berkata kebebasan berucap atau berjenaka tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan sensitiviti agama, lebih-lebih lagi apabila melibatkan paderi, biarawati dan rujukan kepada kitab suci.
Menurutnya, penggunaan rujukan agama secara tidak tepat juga boleh mengelirukan masyarakat serta memberi gambaran seolah-olah teks suci boleh dipetik sesuka hati demi menghasilkan gelak ketawa.
“Humor mempunyai tempatnya dalam politik, tetapi agama juga mempunyai batas penghormatan yang mesti difahami oleh semua pihak,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa isu berkenaan harus dilihat sebagai soal adab dan tanggungjawab awam, bukannya semata-mata pertikaian kepartian.
“Prinsip menghormati agama mesti terpakai kepada semua pemimpin, tanpa mengira parti atau kedudukan. Standardnya mesti sama,” katanya.
Steve berkata ahli politik yang diberi ruang di pentas nasional perlu menunjukkan tahap kepekaan yang lebih tinggi kerana ucapan mereka bukan sahaja didengar penyokong sendiri, tetapi turut dinilai oleh masyarakat pelbagai latar belakang.
Beliau berharap insiden itu menjadi peringatan kepada semua pemimpin supaya lebih berhati-hati memilih kata-kata dan memastikan agama tidak dijadikan bahan jenaka yang boleh menyinggung perasaan serta menjejaskan keharmonian rakyat Malaysia.-pr/BNN





