KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak senada dengan Ahli Parlimen Tuaran; Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berhubung kenyataan tidak wajar diutarakan pemimpin UMNO pada PAU lalu yang dilihat kurang peka dengan sensitiviti penganut agama Kristian di negara ini.
Merujuk kepada kenyataan wakil pimpinan UMNO Sepang dalam pentas PAU tempoh hari, jenaka berunsur seksual mengaitkan biarawati dan paderi katolik dilihat tidak boleh diterima.
Jelasnya, pemimpin UMNO tersebut diminta supaya meminta maaf secara terbuka.
“Pemimpin UMNO berkenaan wajar memohon maaf secara terbuka dan ikhlas. Ini bukan soal politik. Ini soal rasa hormat, tanggungjawab dan memahami batas yang tidak sepatutnya dilanggar.
“Di Sabah, umat Islam, Kristian dan penganut agama lain telah hidup bersama dengan saling menghormati sejak sekian lama.
“Semangat toleransi dan keharmonian ini mesti terus kita pelihara.
“Apabila sesuatu itu salah, kita mesti berani menyatakan bahawa ia salah, tanpa mengira siapa yang melakukannya, “katanya ketika memetik pautan Facebook beliau, hari ini.
Terdahulu, isu tersebut disuarakan Madius di dalam saluran sosial media beliau yang menempelak ucapan pemimpin tersebut menggunakan kisah membabitkan paderi dan biarawati, termasuk rujukan kepada Mazmur 129, sebagai sebahagian daripada ucapannya.
Tambah Madius, paderi Katolik dan biarawati tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka seksual atau dipersendakan dari pentas perhimpunan politik utama negara.-pr/BNN





