KOTA KINABALU: Agama tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka politik, apatah lagi apabila ia menyentuh perkara sensitif berkaitan institusi keagamaan dan penganut agama lain.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB), Haji Yazid Hj. Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata jenaka berunsur seksual yang mengaitkan paderi Katolik dan biarawati adalah tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila disampaikan pada pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Beliau berkata, beliau menyokong pendirian bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berhubung kenyataan terbabit.
“Bagi saya, agama bukan bahan untuk berjenaka. Paderi, biarawati dan institusi keagamaan mempunyai kedudukan yang dihormati oleh penganut masing-masing.
“Walaupun sesuatu perkara itu mungkin dimaksudkan sebagai jenaka, kita perlu memahami bahawa apa yang dianggap lucu oleh seseorang mungkin boleh menjadi sesuatu yang sangat mengguris perasaan dan maruah penganut agama lain,” katanya.
Yazid berkata, Sabah mempunyai pengalaman panjang dalam memelihara keharmonian masyarakat pelbagai agama dan kaum, dengan Islam, Kristian serta agama lain dapat diamalkan secara aman berasaskan sikap saling menghormati.
“Jangan kerana mengejar tepukan atau cuba menceriakan suasana politik, agama pula dijadikan bahan jenaka sehingga mengguris hati masyarakat,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan pihak berkenaan perlu memohon maaf secara terbuka dan ikhlas kepada penganut Katolik, khususnya mereka yang berasa tersinggung dengan kenyataan terbabit.
“Memohon maaf bukan tanda kelemahan, sebaliknya tanda keberanian, kematangan dan rasa tanggungjawab. Jika sesuatu kenyataan telah menyinggung perasaan masyarakat, kita perlu berani mengakui bahawa ia tidak wajar dan mengambil langkah untuk meredakan keadaan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua pemimpin politik supaya lebih berhati-hati ketika menyentuh isu agama kerana politik datang dan pergi, tetapi keharmonian antara penganut agama dan perpaduan masyarakat perlu dipelihara. Katanya, Sabah perlu terus menjadi contoh bahawa perbezaan agama bukan penghalang untuk hidup aman, harmoni dan saling menghormati.-pr/BNN





