KOTA KINABALU: Sabah MotoDay 9.0 bukan sekadar acara permotoran, sebaliknya platform mendekati golongan muda dan menyampaikan mesej besar kepada masyarakat supaya hidup bebas daripada dadah.
Pengerusi Skuad Antidadah Sabah dan Pengerusi Bersama Sabah MotoDay 9.0, Datuk Haji Mazlan @ Joehari Haji Manan, berkata komuniti permotoran mempunyai kelompok besar merangkumi pekerja, usahawan, profesional, pelajar dan pemimpin masyarakat yang boleh menjadi rakan strategik dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah.
“Kalau kita mahu mendekati anak muda, kita mesti masuk ke dalam dunia mereka. Kita tidak boleh hanya tunggu mereka datang kepada kita. Kita mesti turun ke lapangan, memahami minat mereka dan menggunakan platform yang mereka sukai untuk membawa mesej yang baik,” katanya.
Beliau berkata, persepsi terhadap komuniti permotoran juga perlu diubah kerana anak motor bukan golongan yang hilang arah, malah berpotensi menjadi pemimpin, usahawan, sukarelawan serta benteng hadapan dalam memerangi dadah.
Sehubungan itu, Mazlan menyeru semua kelab dan komuniti permotoran supaya menjadi duta antidadah dengan membawa mesej berkenaan ke kampung, daerah, keluarga dan khususnya kepada golongan muda.
“Amalkan semangat ‘Kawan jaga kawan’. Kalau kita nampak seorang sahabat mula tersasar, jangan tinggalkan dia. Kalau ada sahabat yang sedang bergelut dengan ketagihan, jangan terus menghukum. Bantu dia, bimbing dia dan bawa dia kembali.
“Dalam perjuangan antidadah, kita bukan hanya bercakap tentang hukuman, tetapi tentang harapan, peluang kedua dan menyelamatkan manusia,” katanya.
Beliau turut mengingatkan golongan muda supaya tidak mencuba dadah walaupun hanya sekali kerana satu percubaan boleh merosakkan pelajaran, kerjaya, keluarga dan masa depan.
Dalam pada itu, beliau mahu Sabah MotoDay turut menjadi simbol budaya permotoran yang selamat dengan menekankan pematuhan undang-undang dan penghormatan terhadap pengguna jalan raya lain.
“Kehebatan seorang rider bukan pada seberapa laju dia menunggang, tetapi apabila dia tahu bila perlu berhenti, menghormati undang-undang, menjaga nyawa dan menghormati pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Mazlan berkata, dunia permotoran juga mampu membuka peluang ekonomi kepada anak muda dalam bidang mekanikal, aksesori, modifikasi, pakaian, pemasaran, kandungan digital, pelancongan dan pengurusan acara.
Katanya, minat perlu diterjemahkan kepada kemahiran, kerjaya dan keusahawanan supaya anak muda menjadi generasi berdikari, berdisiplin serta mempunyai arah kehidupan yang jelas.
“Biarlah deruman enjin pada hari ini bukan sekadar bunyi, tetapi menjadi simbol kebangkitan, keberanian, persaudaraan dan anak muda Sabah yang memilih hidup bebas daripada dadah,” katanya.-pr/BNN





