KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri bercadang untuk memindahkan Pasar Besar Kota Kinabalu keluar dari pusat bandar.
“Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menyediakan satu kertas kerja yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet kemudian,” katanya ketika ditemui selepas meninjau dua tapak yang dicadangkan bagi pasar baharu itu di Alam Mesra dan di Jalan Tun Fuad Stephens hari ini.
Beliau berkata Pejabat Datuk Bandar turut akan mengemukakan cadangan mengenai perancangan bagi tapak Pasar Besar Kota Kinabalu sedia ada selepas pasar itu dipindahkan.
“Sebab itu kita melawat tapak-tapak yang dicadangkan bagi Pasar Besar baharu ini, tetapi ia masih di peringkat awal. Jika pasar baharu dibina, ia akan dilengkapi dengan semua kemudahan, lebih besar dan lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Hajiji melawat tanah kerajaan negeri seluas 40 ekar di sepanjang Jalan UMS, Alam Mesra, yang dicadangkan sebagai tapak Hab Pasar Bersepadu Kota Kinabalu Utara.
Beliau diberi taklimat mengenai tapak berkenaan oleh Datuk Bandar Datuk Sabin Samitah.
Antara kemudahan yang dicadangkan di hab pasar berkenaan ialah pasar kering, pasar basah, pusat produk kebudayaan, tempatan dan pelancongan, pusat penjaja serta jeti ikan.
Beliau turut melawat tapak kedua yang terletak di atas tanah komersial bercampur milik Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan berhampiran Kampung Likas, di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens, bersebelahan Anjung Selera.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman serta Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai dan Datuk Ceasar Mandela Malakun.-pr/BNN





