KOTA KINABALU: Suara mahasiswa Sabah perlu didengar, khususnya mereka yang menuntut di luar negeri dan berdepan pelbagai cabaran termasuk kos sara hidup.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim, berkata perkara itu antara yang dikongsikan mahasiswa Sabah dalam kunjungan Persatuan Mahasiswa Sabah Universiti Malaya (PERMASA UM) kepadanya.

Beliau berkata, mahasiswa berkenaan turut mengemukakan beberapa isu yang dihadapi anak Sabah di Universiti Malaya dan Semenanjung Malaysia, khususnya di Lembah Klang.

“Antaranya berkaitan harga tiket kapal terbang, penginapan pelajar serta peluang dan tajaan pendidikan.

“Sebahagian daripada perkara yang dibangkitkan telah saya sampaikan kepada Ketua Menteri untuk perhatian dan pertimbangan sewajarnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Azrul berkata, mahasiswa Sabah berdepan kos sara hidup serta pelbagai cabaran sebagai anak Sabah, khususnya mereka yang menuntut ilmu jauh di luar negeri.

Katanya, di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, pelbagai inisiatif pendidikan diperkenalkan khusus bagi membantu anak-anak Sabah.

Antaranya Bantuan Pendaftaran IPT (BUDI), bantuan sekali bayar kepada pelajar Sabah di luar negeri melalui GRS SubFly, bantuan sekali bayar kepada pelajar Sabah dalam negeri melalui SENTOSA serta pelaksanaan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).

Beliau berkata, peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) turut diperkasakan dengan peruntukan RM155 juta pada 2026.

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri terus memperkemas dan menambah baik inisiatif sedia ada bagi memastikan kebajikan dan keperluan para pelajar terus diberi perhatian.

“Kita mahu anak-anak Sabah yang menuntut di luar negeri tidak rasa mereka dilupakan. Apa yang boleh dibantu, kita bantu. Apa yang perlu diperjuangkan, kita perjuangkan bersama,” katanya.-pr/BNN