KOTA KINABALU:  Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan digesa mengambil tindakan proaktif bagi menangani risiko jerebu serta kemerosotan kualiti udara yang boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Pengerusi Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah, David Chan, berkata pemantauan kualiti udara perlu dipertingkat, terutama jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan peningkatan ke tahap tidak sihat.

Katanya, perhatian khusus perlu diberikan kepada golongan rentan termasuk warga emas, kanak-kanak, pelajar serta individu yang mempunyai masalah pernafasan dan kesihatan sedia ada.

“Kesihatan dan keselamatan rakyat mesti menjadi keutamaan. Kita tidak seharusnya menunggu sehingga keadaan menjadi serius sebelum tindakan lebih menyeluruh diambil.

“Rakyat juga perlu menerima maklumat yang jelas, tepat dan terkini mengenai bacaan IPU serta langkah perlindungan yang perlu diambil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

David berkata, jerebu bukan sekadar isu alam sekitar kerana keadaan berpanjangan boleh memberi kesan kepada kesihatan awam, aktiviti persekolahan, pelancongan, perniagaan dan ekonomi.

Beliau berkata, sekiranya jerebu membabitkan pencemaran rentas sempadan, Kerajaan Persekutuan perlu memperkukuh kerjasama diplomatik dengan negara jiran termasuk menerusi mekanisme ASEAN.

Katanya, kerjasama itu penting bagi menangani punca pencemaran termasuk kebakaran hutan dan tanah gambut, selain mencari penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan kejadian jerebu berulang.

“Masalah jerebu tidak seharusnya hanya diberikan perhatian apabila keadaan bertambah buruk. Pencegahan, pemantauan awal dan kerjasama serantau perlu bergerak seiring.

“Kesihatan, keselamatan dan nyawa rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.-pr/BNN