KOTA KINABALU: Kejayaan atlet karate kelahiran Tambunan, Adeola Fay Robert, menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun membuktikan anak Sabah mampu bersaing di pentas tertinggi Asia.
Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun dan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Keningau, Datuk Azman Haji Ruslan, menyifatkan kejayaan atlet berusia 20 tahun itu sebagai pencapaian membanggakan yang mengharumkan nama Sabah dan Malaysia.
Azizah berkata, kejayaan itu membuktikan bakat, disiplin dan kesungguhan atlet muda Sabah mampu membawa mereka ke pentas antarabangsa sekiranya diberikan sokongan, latihan dan peluang pembangunan yang berterusan.
“Adeola membuktikan anak Sabah mampu pergi jauh. Dengan peluang, sokongan, latihan dan ruang pembangunan berterusan, atlet muda kita mampu berdiri sama tinggi dengan atlet terbaik Asia dan dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Adeola mencipta sejarah selepas menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, 6-4 dalam final kumite wanita bawah 55 kilogram di Gimnasium Toyohashi.
Sebelum itu, beliau menewaskan Asrar Jasem dari Kuwait 9-1 pada pusingan 16 terbaik, Sevinch Rakhimova dari Uzbekistan 8-7 di suku akhir dan Bella Samasheva dari Kazakhstan 5-4 pada separuh akhir.
Azman berkata kejayaan berkenaan membuktikan kesungguhan, disiplin dan keazaman tinggi mampu membawa anak Sabah ke pentas tertinggi Asia.
Beliau turut menyeru golongan muda supaya terus mengembangkan bakat dalam bidang sukan serta menjauhi kegiatan yang boleh merugikan diri, keluarga dan masa depan negara.
Menurut Azizah, perjalanan Adeola daripada membawa cabaran Sabah di peringkat kebangsaan sehingga menggalas cabaran Malaysia di Sukan Asia memperlihatkan pentingnya pembangunan bakat secara berterusan.
Pada SUKMA XXII Selangor 2026, Adeola meraih emas kumite wanita 61 kilogram sebelum membantu skuad kumite berpasukan wanita Sabah turut memenangi emas.
Azizah berkata kejayaan itu juga perlu menjadi dorongan untuk memperkukuh pembangunan sukan di Sabah, khususnya dalam mengenal pasti bakat muda dari daerah dan luar bandar serta menyediakan latihan, kemudahan dan pendedahan pertandingan yang mencukupi.
“Kita mahu lebih ramai Adeola dilahirkan dari Sabah. Bakat anak-anak kita perlu dicari, diasah dan diberikan peluang supaya mereka bukan sahaja menjadi juara di negeri sendiri, tetapi mampu membawa nama Sabah dan Malaysia ke persada dunia,” katanya.
Kejayaan di Aichi-Nagoya turut meneruskan momentum positif Adeola selepas meraih gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025, selain menamatkan penantian Malaysia untuk emas karate wanita Sukan Asia sejak kejayaan Syakilla Salni pada edisi Incheon 2014.-pr/BNN





