KOTA KINABALU: Parti-parti tempatan perlu terus memperkukuh dan mempertahankan kerjasama bagi memastikan agenda serta perjuangan untuk rakyat Sabah, termasuk berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan hak 40 peratus hasil negeri, dapat direalisasikan.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata kerjasama erat antara parti tempatan penting bagi memastikan perjuangan berkenaan dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan negeri.
“Apabila parti-parti tempatan bergabung dan bekerja kuat sebagai satu pasukan, kita dapat memastikan perkara yang diperjuangkan untuk rakyat Sabah menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Exco Wanita UPKO yang diketuai Ketua Wanita UPKO, Mohina Ronnie Sidom, di Wisma IDS, di sini, hari ini.
Azizah berkata semua pihak perlu mengetepikan kepentingan peribadi dan perbezaan demi mengekalkan kerjasama, selain memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
Menurutnya, pembentukan GRS yang menghimpunkan parti-parti tempatan mencerminkan kematangan politik di Sabah, sekali gus membuka ruang kepada semua pihak untuk mencari titik persamaan dalam memperkukuh kedudukan negeri dalam Malaysia.
“Semangat ini selari dengan prinsip Sabah First dan hala tuju Sabah Maju Jaya. Dengan kerjasama yang kukuh, kita dapat melaksanakan usaha untuk kemakmuran dan kemajuan negeri. Sebab itu, gabungan ini mesti kita pertahankan,” katanya.
Hadir sama Setiausaha Wanita UPKO, Prisca Papaya; Penolong Setiausaha Wanita GRS, Salmah Sait; Ketua Penerangan Wanita GRS, Datin Atin Belinda; Timbalan Ketua Penerangan Wanita GRS, Julia Abu Bakar Titingan serta barisan Exco Wanita UPKO.-pr/BNN





