KOTA KINABALU: Pada usia sembilan dan tujuh tahun, dua beradik dari Sabah, Farish Abraham Larkins dan Julianna Rowse Larkins, melakar langkah pertama dalam dunia perfileman menerusi “Duyung Supirak”, filem yang mengangkat legenda duyung di Pulau Supirak, Pitas ke layar perak.

Penampilan sulung mereka dalam filem terbitan ONtv Production itu bukan sahaja membuka peluang mengasah bakat lakonan, malah menjadi antara usaha memperkenalkan warisan legenda tempatan Sabah kepada khalayak lebih luas.

Filem arahan Jade Morris itu kini menjalani penggambaran di sekitar Pulau Supirak, daerah Pitas, dengan keindahan alam semula jadi pulau berkenaan menjadi latar utama bagi menghidupkan kisah legenda tempatan itu.

Farish, 9, dan Julianna, 7, yang berasal dari Kota Kinabalu dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Darau, membawakan watak kanak-kanak yang mempunyai kaitan rapat dengan kisah Kuratang serta legenda duyung di Pulau Supirak.

Bagi kedua-dua beradik itu, penglibatan dalam filem berkenaan menjadi pengalaman baharu yang bermakna, selain peluang untuk mengembangkan bakat dan menimba pengalaman dalam bidang lakonan.

Julianna turut aktif dalam bidang seni persembahan sebagai penari menerusi Persatuan Kelab Senamrobik Neelam.

Filem Duyung Supirak dijadualkan menemui penonton pada 2027, sekali gus diharap dapat memperkenalkan legenda tempatan Sabah kepada khalayak dalam dan luar negara.

Selain mengetengahkan warisan legenda Sabah ke layar perak, penerbitan filem itu turut diharap dapat membantu mempromosikan sektor pelancongan di daerah Pitas, khususnya Pulau Supirak, dengan memperkenalkan keindahan alam semula jadi, budaya dan warisan tempatan.-pr/BNN