KOTA KINABALU: Keselamatan pelancong perlu menjadi keutamaan seluruh ekosistem pelancongan Sabah bagi memastikan usaha menarik lebih ramai pengunjung menjelang Visit Sabah 2027 disokong oleh perkhidmatan yang berkualiti serta selamat untuk semua pihak.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman, berkata tanggungjawab mewujudkan pelancongan selamat tersebut perlu digalas bersama oleh agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pengusaha pelancongan, penyedia aktiviti, penginapan dan pengangkutan bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa terpelihara.
“Aspek keselamatan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada kualiti sesuatu destinasi pelancongan dan atas sebab itu, keselamatan pelancong tidak boleh diletakkan atas bahu satu pihak sahaja,” katanya dalam ucapan perasmian NIOSHCert International Standards Seminar 2026 (NISS 2026) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Dr. Ahemad Sade.
Bertemakan “Safe Adventure Experiences, Trusted Destinations”, seminar anjuran NIOSH Certification Sdn. Bhd. (NIOSHCert) tersebut mengetengahkan penerapan standard dalam memperkukuh keselamatan, kualiti perkhidmatan dan keyakinan pelancong terhadap sesebuah destinasi.
NIOSHCert merupakan anak syarikat Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang bertanggungjawab meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di bawah kerangka Malaysia MADANI.
Menurut Zainudin, usaha meningkatkan ketibaan pelancong perlu seiring dengan kesiapsiagaan seluruh ekosistem pelancongan untuk menyediakan pengalaman yang selamat dan berkualiti, sekali gus mendorong kunjungan semula serta perkongsian positif dengan pelancong lain.
Beliau turut menekankan bahawa keberkesanan sesuatu standard bergantung pada pelaksanaannya melalui penyelarasan dasar, pengawasan pihak berkuasa tempatan dan penerapan amalan keselamatan secara konsisten dalam operasi harian industri.
“Saya juga berharap kerjasama antara NIOSHCert dengan kementerian, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta pemain industri di Sabah dapat terus diperkukuh, khususnya dalam pembangunan kompetensi, peningkatan kesedaran dan penerapan standard pengurusan antarabangsa yang bersesuaian,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi NIOSHCert, Dato’ Haji Ayop Salleh, berkata keselamatan pelancongan perlu ditangani secara menyeluruh, bermula sebelum sesuatu aktiviti dijalankan hingga meliputi perkhidmatan sokongan yang membentuk pengalaman pelancong.
“Ia seharusnya merangkumi semua aspek termasuk pengurusan destinasi, pengenalpastian risiko, perancangan aktiviti, kompetensi pengendali, penyampaian maklumat kepada peserta serta perkhidmatan sokongan seperti hospitaliti dan pengangkutan,” katanya.
Dato’ Haji Ayop, yang juga merupakan Pengarah Eksekutif NIOSH, berkata NISS 2026 menjadi medan untuk menghubungkan pemahaman tentang standard dengan pengalaman operasi sebenar, cabaran pelaksanaan dan pandangan industri, khususnya dalam konteks kepelbagaian produk pelancongan alam semula jadi dan kembara di Sabah.
Program sehari itu mengetengahkan standard MS ISO 21101 berkaitan sistem pengurusan keselamatan pelancongan kembara, MS ISO 21102:2020 mengenai kompetensi pemimpin aktiviti serta ISO 39001 bagi menyokong pengurusan keselamatan lalu lintas jalan raya dalam perkhidmatan pengangkutan pelancong.
Pengisian seminar turut merangkumi kesiapsiagaan peserta sebelum aktiviti, penyampaian maklumat dan taklimat keselamatan yang berkesan serta peranan sektor hospitaliti dalam menyediakan pengalaman yang selamat dan inklusif melalui kajian kes, simulasi dan perbincangan berasaskan situasi operasi sebenar.
Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) Datuk Josie Lai Mei Sing turut menyampaikan ucaptama bertajuk “Safe Experiences, Trusted Destinations: Building Visitor Confidence Across the Tourism Journey” manakala Pengurus Kanan NIOSHCert Muhammad Fadhil Abu Bakar berkongsi maklumat mengenai MS ISO 21101.
Turut berkongsi pengalaman adalah Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof. Madya Dr. Mazuki Mohd Yasim, Pengarah Operasi Think Big Adventure Sdn. Bhd. Mohd. Firdaus Ermand, Pengarah Sumber Manusia dan Latihan Sutera Harbour Resort Mohamad Al’freedo Mohd Yahya serta Ketua Unit Pendidikan dan Pemerkasaan, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Ts. Rabihah Ilyas.
Forum “From Arrival to Return – Who Owns the Visitor’s Safety?” pula menghimpunkan perspektif kawal selia dan industri melibatkan NIOSHCert Principal Associate Dr. Mohd Salleh Daim dan Timbalan Pengarah Operasi, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sabah Afanizam Ali.-pr/BNN





