KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan secara tidak munasabah sempena sambutan Deepavali.
Pengerusinya, David Chan, berkata peniaga, pemborong dan peruncit perlu mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dari 4 hingga 10 November ini.
Beliau berkata, skim itu melibatkan 11 barangan, termasuk bawang besar merah, bawang merah kecil dan bawang merah ros dari India, cili merah, daging kambing import bertulang, kacang dhal Australia, kelapa biji, kelapa parut, santan, tomato serta ubi kentang import dari China.
“Peniaga wajib mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan dan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan yang dikawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
David berkata, peniaga yang menjual barangan kawalan melebihi harga maksimum boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya. Syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000.
Beliau turut menggesa KPDN mempergiat pemeriksaan di pasar awam, pasar raya, kedai runcit dan premis perniagaan, khususnya di Sabah, bagi memastikan peraturan dipatuhi.
Dalam pada itu, pengguna dinasihatkan membandingkan harga, membeli mengikut keperluan dan melaporkan sebarang pelanggaran kepada KPDN.
David berkata kenaikan harga barangan keperluan memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah, terutama golongan berpendapatan rendah, warga emas serta keluarga B40 dan M40.
Beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Deepavali 2026 kepada masyarakat India di Malaysia dan berharap perayaan itu membawa kebahagiaan, kesejahteraan serta mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum.-pr/BNN





