KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berharap lebih ramai generasi muda tampil menyertai kepimpinan persatuan dan kegiatan kemasyarakatan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta pembangunan masyarakat di Sabah.
Beliau berkata, sebagai pewaris kepimpinan masa hadapan, golongan muda perlu diberikan ruang dan peluang untuk menyumbang idea, tenaga serta kepakaran dalam meneruskan legasi generasi terdahulu.
Pada masa sama, beliau turut menggalakkan sektor korporat dan komuniti perniagaan supaya terus bekerjasama dengan pertubuhan masyarakat dalam melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberikan manfaat kepada rakyat.
“Budaya tanggungjawab sosial dan semangat saling membantu amat penting dalam membina masyarakat yang maju, prihatin dan bersatu padu,” katanya pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-32 Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) dan Kutipan Dana Bangunan di Port View Palace Hall, di sini, malam ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menghargai peranan pertubuhan masyarakat seperti FCAS yang menjadi penghubung penting antara masyarakat Cina dengan Kerajaan Negeri sejak penubuhannya pada tahun 1994.
Beliau berharap FCAS akan terus menjadi rakan strategik Kerajaan Negeri dalam menjayakan agenda pembangunan Sabah, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.
“Selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya, Kerajaan Negeri komited untuk memperkukuh ekonomi, menambah baik infrastruktur, membangunkan modal insan serta memperluas peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat.
“Namun, kejayaan agenda ini memerlukan kerjasama erat semua pihak, merangkumi sektor swasta, pertubuhan masyarakat, badan bukan kerajaan dan seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Menurutnya, masyarakat Cina telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan Sabah, khususnya dalam sektor perdagangan, perniagaan, perindustrian, pendidikan dan pelancongan.
“Peranan FCAS sebagai jambatan penghubung antara Kerajaan Negeri dengan masyarakat Cina perlu terus diperkukuh bagi memupuk persefahaman, membina kepercayaan dan memastikan aspirasi masyarakat dapat diketengahkan secara konstruktif,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri akan terus memastikan semua lapisan masyarakat memperoleh peluang yang saksama untuk menikmati serta menyumbang kepada pembangunan negeri tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Presiden FCAS Tan Sri (Dr.) TC Goh serta barisan kepimpinannya sempena ulang tahun ke-32 pertubuhan berkenaan.
Beliau berkata, sambutan tahun ini lebih bermakna dengan perasmian Wisma FCAS di Kampung Air, Kota Kinabalu, pada pagi tadi yang menjadi satu lagi mercu tanda penting dalam sejarah pertubuhan itu.
“Kerajaan Negeri telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM1 juta bagi membantu menjayakan pembangunan Wisma FCAS.
“Sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk menyokong usaha memperkukuh perpaduan, memelihara khazanah budaya dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hajiji berkata, kejayaan merealisasikan Wisma FCAS merupakan hasil semangat kebersamaan dan kerjasama pelbagai pihak termasuk persatuan gabungan, sektor korporat, para dermawan dan masyarakat Cina secara keseluruhannya.
Beliau yakin FCAS akan terus relevan dan memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan, memelihara warisan budaya serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan Sabah.-pr/BNN





