KOTA KINABALU: UMNO Sabah menuntut Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad memohon maaf khas secara terbuka kepada ahli-ahli parti itu, susulan kenyataan biadapnya menyatakan UMNO tidak laku di Sabah.

Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Encik Ghazalie Ansing berkata, walaupun Dr. Abdul Latiff menegaskan kenyataannya disalah tafsir, namun dari mata UMNO Sabah ia adalah satu pembohongan yang jelas dan nyata.

Katanya, kenyataan yang di keluarkan oleh Dr Abdul Latiff itu merupakan kenyataan lisan dan bukan kenyataan bertulis yang boleh di salah tafsir.

“Sedarkah Dr. Abdul Latiff, bahawa jika UMNO Sabah tidak diterima rakyat, sudah pasti UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak akan memenangi kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang lalu”, katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau mengulas mengenai video tular kenyataan Dr Abdul Latiff Ahmad yang menyifatkan UMNO Sabah sebagai sebuah “parti yang tidak laku”.

Menerusi video yang viral di media sosial Dr Abdul Latiff dipetik berkata, UMNO di Sabah tidak lagi laku dan ramai ahlinya yang telah menyertai PPBM.

Susulan kenyataan beliau yang dikritik ramai, Dr. Abdul Latiff yang juga Ahli Parlimen Mersing kemudiannya memohon maaf berhubung kenyataan itu.

Dr Abd Latiff menyifatkan kenyataan beliau mengenai UMNO di Sabah sudah disalah tafsir pihak tertentu sehingga mengecilkan hati pihak lain.

“Ia adalah kenyataan peribadi bukan mewakili parti. Saya dengan rendah diri ingin memohon maaf sekiranya kenyataan saya itu menyinggung perasaan sesetengah pihak.

“Musuh sebenarnya adalah pihak lawan. Jangan biarkan kita bercakaran. Saya sekali lagi memohon maaf atas kekhilafan saya”, katanya.

Ghazalie berkata, “kalau Dr Abdul Latiff belum hilang ingatan, pada ketika seluruh jentera PPBM telah berpadu bersama Parti Warisan ingin menumbangkan UMNO. Namun UMNO tetap menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis”.

“Ini adalah bukti dan manifestasi
rakyat Sabah yang masih kekal dan utuh bersama UMNO.

“Dr.Abdul Latiff sedarkah, semua calon PPBM (Bersatu) yang bertanding di dalam PRK sebelum ini, semuanya kalah. Ini adalah bukti yang Bersatu tidak diterima oleh majoriti rakyat Malaysia”, tegasnya.- pr/BNN

Dr.Abdul Latiff