Yahya rasmi gotong royong Masjid Putatan

0
210
Yahya (tengah) menyiram pokok yang baharu ditanam
Yahya (tengah) menyiram pokok yang baharu ditanam

PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin telah merasmikan Majlis Gotong Royong membersih kawasan Masjid Daerah Putatan dekat sini, kelmarin.

Majlis itu dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBPM) Negeri Sabah, YADIM Zon Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jawatankuasa Masjid Daerah Putatan dan Majlis Daerah Putatan.

Turut hadir di majlis itu ialah Pengarah JPBPM Negeri Sabah, Haji Nordin Fauzi, Ketua Daerah Putatan, OKK Haji Yunus Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Masjid Daerah Putatan, Penolong Pegawai Daerah Putatan, Haji Zainuddin Haji Awang.

Majlis gotong royong itu telah disertai oleh lebih 100 anggota bomba dan penyelamat sempena sambutan Hari Bomba Sedunia selain aktiviti khidmat masyarakat mereka.

Yahya dalam ucapannya berharap Balai Bomba dan Penyelamat dapat dibina di kawasan Putatan secepat mungkin memandangkan JPBPM telah membeli sebidang tanah yang  bernilai jutaan ringgi di kawasan Putatan untuk tujuan itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas berkata, semangat gotong royong yang diamalkan sejak zaman berzaman itu perlu terus dipupuk dikalangan masyarakat bagi menanam semangat kerjasama dikalangan mereka.

“Menerusi program gotong royong, banyak kerja-kerja berat dapat diselesaikan demi kesejahteraan rakyat”, tegasnya.

Beliau turut memuji peranan anggota JPBPM dalam membantu masyarakat terutama operasi menyelamat dan memadamkan kebakaran.

Yahya turut menanam pokok sebagai simbol perasmian program itu.-CE/BNN